fbpx

Kebebasan bersuara bukan hak mutlak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

KEBELAKANGAN ini, bukan sahaja selebriti, ahli politik dan ustaz yang menerima kecaman daripada netizen Malaysia, malah kritikan turut dilemparkan terhadap golongan diraja.

Antara yang mendapat ­perhatian baru-baru ini adalah seorang pereka grafik, Fahmi Reza yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes menghina Raja ­Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Penghinaan yang dibuat atas dakwaan tiket ‘satira politik’ itu telah mengakibatkan lelaki tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Memang benar Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan hak kebebasan bercakap dan bersuara kepada setiap warganegara Malaysia.

Namun, hak berkenaan sebenarnya tidak mutlak dan terdapat sekatan-sekatan tertentu di bawah Perlembagaan.

Menurut Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan, rakyat Malaysia dilarang untuk mempersoalkan isu kewarganegaraan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kedaulatan raja-raja.

Dalam kata mudah, seorang warganegara tidak dibenarkan mempersoalkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas meski­pun atas nama kebebasan bersua­ra atau satira politik.

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, Mazlina Mohamad Mangsor, tindakan yang didakwa penghinaan dalam bentuk satira politik itu juga boleh dianggap tidak selari dengan prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

Malah katanya, ia mungkin melanggar prinsip ketiga iaitu keluhuran Perlembagaan.

Justeru, bentuk kandungan yang dicipta pereka grafik terbabit yang sering dilaung-laungkan sebagai ‘satira politik’ itu sebenarnya hanyalah tidak lebih daripada satu bentuk kebebasan bersuara yang telah disalahgunakan.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, dia boleh mengamalkan kebebasan bersuara.

“Namun, tindakannya me­ngandungi kecenderungan meng­hasut seperti yang digariskan dalam Seksyen 3 (1) Akta Hasutan 1948 yang mana ia boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujar Mazlina.

Sementara itu, Pengarah Ja­batan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed sebelum ini menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut sehingga boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap ­mana-mana individu yang sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni serta mengganggu-gugat ketenteraman awam,” ­katanya.

Kebebasan bersuara itu sebenarnya tidak salah sekiranya ia dilakukan mengikut batas-batas yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walau apa jua yang ingin di­suarakan, harus diingatkan bahawa terdapat empat perkara yang tidak boleh disentuh iaitu hak istimewa kewarganegaraan, bahasa Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan raja-raja Me­layu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI