fbpx
YILMAZ (kiri) meledak dua gol ketika membantu Lille mencatat kemenangan 3-0 ke atas Lens pada aksi Ligue 1 awal pagi semalam. – AFP

Lille makin hampir kecewakan PSG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Pasukan Lille semakin hampir merangkul gelaran Ligue 1 buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun selepas berjaya menewaskan Lens 3-0 dalam aksi di Stadium Bollaert-Delelis awal pagi semalam.

Pada perlawanan tersebut, Lille tidak mempunyai masalah untuk menundukkan musuh tradisi mereka itu dengan jari­ngan dilakukan oleh penyerang sensasi kelahiran Turki, Burak Yilmaz yang meledak dua gol selain rembatan yang dilakukan oleh pemain muda, Jonathan ­David.

Kemenangan tersebut meletakkan Lille kekal di kedudukan pertama liga dengan 79 mata selepas mengharungi 36 perlawanan.

Ketua jurulatih Lille, Christophe Galtier mengakui pasukannya tidak boleh mendabik dada dengan kedudukan semasa kerana apa sahaja boleh berlaku pada dua perlawanan terakhir nanti memandangkan kedudukan pesaing terdekat, Paris Saint-Germain (PSG) tidak terlalu jauh.

“Secara jujur, pasukan saya semakin yakin dapat menamatkan kemarau kejuaraan Ligue 1 selepas menewaskan pasukan berkualiti seperti Lens. Di atas kertas, Lens adalah pasukan pa­ling sukar yang kami akan temui pada tiga perlawanan terakhir.

“Namun, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak boleh memandang rendah dengan keupayaan mana-mana pasukan lain tetapi saya akui kemenangan ini meletakkan kami selangkah bergelar juara.

“Mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakan musuh utama pemain pada saat getir ini adalah diri sendiri kerana sudah tentu bukan mudah untuk berdepan tekanan dahsyat memandangkan kami sudah lama tidak ditabalkan sebagai juara liga.

“Apa yang pasti, jika kita menang dua perlawanan nanti, impian untuk bergelar juara sudah tentu menjadi kenyataan,” kata­nya. – AGENSI