fbpx
Seorang lelaki mati ditembak selepas cuba menceroboh masuk ke Batalion Ke-4, Rejimen Sempadan di Gerik semalam.

Lelaki cuba ceroboh kem tentera mati ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK – Seorang lelaki bersenjatakan parang mati ditembak ketika cuba menceroboh masuk ke kawasan Batalion Ke-4, Rejimen Sempadan di sini semalam.

Kejadian sekitar pukul 6.45 petang itu mengakibatkan lelaki berusia 35 tahun itu cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Gerik semasa rawatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak kem mengenai seorang lelaki yang cuba menceroboh dengan memanjat pagar pintu hadapan kem.

Katanya, anggota tentera yang berada di pos kawalan telah memberi amaran kepada suspek namun lelaki terbabit bertindak agresif dan menyerang anggota itu dengan senjata dibawa hingga berlaku pergelutan.

“Bagi mempertahankan diri, anggota terbabit telah melepaskan tembakan dan terkena suspek. Suspek yang cedera dihantar ke Hospital Gerik dan disahkan meninggal dunia di sana,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sepasukan pegawai dan anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan merampas beberapa barang berkaitan kes tersebut.

Katanya, siasatan mendapati suspek merupakan bekas anggota tentera yang berkhidmat pada 2003 namun ditamatkan perkhidmatan pada 2013 kerana masalah kesihatan mental.

“Mayat suspek dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.-K! ONLINE