fbpx

Perak sasar jadi pengeluar utama sarung tangan getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) menyaksikan Redza Rafiq (kiri) dan Sin Kooi bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh semalam.

IPOH – Perak bakal mengukukuhkan kedudukannya sebagai antara pengeluar sarung tangan getah terbesar di negara ini dengan pembinaan sebuah kilang baharu di kawasan seluas 18.3 hektar di Tapak Perindustrian Bemban II, Batu Gajah yang dijangka bermula pada tahun 2023.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembangunan itu nanti bakal melibatkan pelaburan sebanyak RM800 juta secara berperingkat-peringkat meliputi lima fasa bagi tempoh 10 tahun.

Menurutnya, fasa pertama projek tersebut dijadual bermula pada tahun 2023 hingga 2024, membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM160 juta.

“Apabila siap sepenuhnya, kilang ini akan mempunyai 80 barisan pengeluaran dengan anggaran penghasilan 24 bilion keping sarung tangan setahun.

“Pelaburan ini bersifat strategik berikutan peningkatan permintaan hasil industri berasaskan getah sejak penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan Professional Latex Sdn. Bhd. di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Perjanjian ditandatangani antara Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Eksekutif Professional Latex Sdn. Bhd., Lim Sin Kooi.

Eksport bagi sarung tangan getah negara ketika ini dianggarkan mencecah 220 billion unit setahun, atau kira-kira 67 peratus daripada permintaan tahunan global.

Tambah Saarani, kerajaan negeri melalui PKNPk komited dalam mewujudkan ekosistem kondusif bagi menggalakkan pelaburan serta mencipta peluang untuk mewujudkan kerjasama strategik dengan sektor swasta.

“Permintaan sarung tangan getah di peringkat antarabangsa meningkat daripada 380 billion kepada 420 billion tahun ini.

“Ia dijangka kekal tinggi berikutan beberapa faktor termasuk peningkatan kesedaran dalam penggunaan sarung getah, perubahan kaedah operasi korporat dan penggunaan mandatori dalam pelbagai aktiviti.” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI