PETALING JAYA – Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor dan Kuala Lumpur terus memberi tekanan hebat kepada 1,000 pengusaha majlis perkahwinan dan katering di sekitar Lembah Klang.
Kesemua ahli Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) itu kehilangan pelanggan dalam sekelip mata sejurus PKP 3.0 diumumkan ekoran peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19.
Presiden PPMP, Zarina Muhidden berkata, seramai 1,000 pengusaha terlibat kini tertekan dan pening kepala apabila pelanggan mereka membatalkan tempahan majlis perkahwinan, iftar serta rumah terbuka.
“Saya sendiri mengalami kerugian hampir RM150,000 apabila lima pelanggan membatalkan tempahan termasuk majlis perkahwinan selepas Aidilfitri membabitkan lebih 2,000 tetamu.
“Kami baru sahaja mahu kembali bernafas dalam dunia perniagaan, namun kini menghadapi semula masalah yang sama.
“Pengusaha majlis perkahwinan mempunyai kos tinggi yang terpaksa mereka tanggung setiap bulan seperti gaji pekerja, sewa dewan dan sebagainya,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Zarina memberitahu, pihaknya menganggap PKP yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah tidak adil kepada mereka.
Katanya, sektor perkilangan, pembinaan, restoran dan bazar Aidilfitri masih dibenarkan beroperasi, tetapi majlis perkahwinan, pertunangan atau jamuan secara terbuka dilarang diadakan di kawasan PKP.
“Banyak jangkitan Covid-19 daripada sektor perkilangan dan pembinaaan, tetapi kami yang jadi mangsa. Ramai pengusaha majlis perkahwinan telah mula berkira-kira untuk gulung tikar kerana mereka tidak lagi mampu menampung kerugian,” ujarnya.
Pengusaha katering yang hanya mahu dikenali sebagai Ajib, 41, berkata, ramai pengusaha sepertinya di Lembah Klang kehilangan tempahan akibat pelaksanaan PKP di Selangor.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan bayaran deposit barangan masakan kepada pihak pembekal sekitar 10 hingga 50 peratus daripada kos barangan antara RM1,000 hingga RM5,000 hangus begitu sahaja.
“Sebelum membeli barangan masakan, kami terpaksa membayar deposit bagi memastikan bekalan itu sentiasa mencukupi untuk keperluan tempahan.
“Namun apabila PKP dilaksanakan, ramai pelanggan membatalkan tempahan termasuk majlis-majlis yang mahu diadakan di pejabat atau rumah sempena musim perayaan ini,” ujarnya.
Sementara itu, pengusaha Zamidah Katering dari Banting, Zamidah Bujang memberitahu, lebih 10 tempahan untuk majlis berbuka puasa telah dibatalkan susulan pelaksanaan PKP 3.0.
“Saya baru sahaja memulakan perniagaan ini dan mahu bangkit semula, tetapi malangnya PKP 3.0 pula diumumkan. Mungkin selepas ini saya perlu memberi tumpuan kepada jualan makanan secara pesanan pula,” katanya.
Selasa lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula PKP di enam daerah di Selangor mulai semalam sehingga 17 Mei ini ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu.
Kuala Lumpur turut dikenakan PKP bermula hari ini sehingga 20 Mei ini.
Sepanjang PKP itu, pergerakan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan kecuali urusan kerja atau kecemasan._K! ONLINE















