
WARTAWAN EKSEKUTIF
FILEM Tamil yang menggunakan dialek Malayalam, Tamil Nadu mahupun Telegu pada asasnya mempunyai perbezaan yang amat ketara jika dibandingkan dengan filem-filem dari Bollywood atau Hindustan.
Jika sinema filem Tamil terdahulu, biasanya plot penceritaan filem-filem mereka sarat dengan kisah percintaan dan hero mempunyai kekuatan melampau.
Namun era baru, filem Tamil semakin matang dengan membawakan perjalanan penceritaan yang menyentuh mengenai isu kehidupan, politik, sosial dan paling ketara adalah kutukan mengenai rasuah yang sememangnya menjadi duri dalam daging di India.
Kisah kemasyarakatan dalam setiap filem tamil terutamanya dari Telegu menjadikan penonton sanggup menghabiskan tiga jam menonton filem-filem hebat ini.
Sebagai contoh filem lakonan Jyothika, Raatchasi (2019) yang mengisahkan seorang pegawai kanan tentera yang beralih tugas kepada seorang pengetua di sebuah sekolah kampung berjaya mengubah landskap pendidikan seluruh perkampungan tersebut.
Sistem pendidikan yang dilihat salah oleh Jhoytika yang memegang watak sebagai Geeta Rani sanggup bergadai nyawa bagi membuktikan sistem pendidikan kerajaan India adalah tidak berkesan.
Sebagai pengetua, dia mempunyai tanggungjawab besar dalam memberikan pendidikan sempurna kepada anak bangsanya sendiri sehingga dia berjaya mengenepikan perbezaan kasta.
Pengarah filem ini, Sy Gowthamraj cukup berani bermain isu kasta yang taboo dalam kalangan masyarakat India.
Isu rasuah dan campur tangan orang politik hingga mengakibatkan pasukan polis India musnah boleh dilihat dalam filem Singam Episod 3 (2017).
Menteri yang menjadikan institusi polis hanya sekadar penutup kepada jenayah kolar putih yang dilakukan bersama ahli keluarganya membuatkan kita sebagai penonton merasa cukup benci dan menyampah dengan anggota keselamatan itu.
Apa tidaknya, polis yang ditubuh untuk menjaga keamanan dalam negara serta membanteras segala kegiatan jenayah menjadi korup dan duri dalam daging kerana terlibat dalam jenayah besar.
Dengan menggunakan kuasa sebagai menteri, satu kumpulan yang dikenali sebagai Gun Ravi mempunyai kuasa sehingga ketua polis di bandar Visakhapatnam dibunuh akibat tidak mengikut apa yang dimahukan oleh kumpulan terbabit.
Watak yang dibawa oleh pelakon hebat, Suriya sebagai pegawai polis Durai Singam berjaya mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap pasukan itu kerana berani mendedah kepincangan yang ada dalam pasukan tersebut.
Durai Singam berjaya mendedahkan dalang dalam setiap aktiviti jenayah yang berlaku di daerah tersebut dengan dapat menyekat campur tangan politik dalam sistem kepolisan agar tidak disalahgunakan.
Pengarah filem kontroversi India, Deepa Mehta pernah berkata, hanya dengan pendedahan melalui filem sahaja penduduk di India dapat mengetahui tentang kepincangan yang berlaku terhadap sistem kerajaan mereka.
“Saya menghasilkan filem Earth, Water dan Fire untuk mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku di India, ramai orang marah dan boikot saya. Lama-kelamaan apa yang telah saya dedahkan selama ini sememangnya benar dan rakyat semakin mempercayainya.
“Kesalahan yang ada adalah mengenai sistem yang diamalkan selama ini terutamanya dari segi sistem kasta yang masih dipegang oleh masyarakat di India serta rasuah yang dilihat seperti tiada penghujungnya.
Sistem ini perlu diubah,” katanya seperti dipetik daripada laporan CBC Art selepas disenaraikan di Anugerah Academy melalui filem Water pada 2005.-K! ONLINE