JERANTUT – Ikan salai yang menjadi antara juadah pilihan dalam bulan Ramadan di daerah ini terus mendapat sambutan menggalakkan apabila permintaannya meningkat berkali ganda pada Ramadan kali ini.
Ikan salai daripada pelbagai jenis ikan seperti patin, tilapia dan sebagainya itu boleh dibuat pelbagai masakan untuk juadah berbuka puasa dan sahur seperti masak lemak kuning cili api.
Peniaga ikan salai, Azman Zainuddin, 50, berkata, boleh dikatakan setiap tahun ketika bulan Ramadan dia dan isteriya, Asrah Ahmad, 47, tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang membeli ikan salai di gerainya yang terletak di tepi jalan Jerantut ke Maran, berdekatan Kampung Jerantut Feri di sini.
“Memandangkan permintaan meningkat di bulan puasa saya mula menyalai ikan patin dan tilapia selepas solat Subuh dalam tempoh sejam setengah.
“Biasanya setiap pagi dalam bulan ini, ada pelanggan yang sudah mula menunggu seawal pukul 8 pagi di hadapan gerai untuk membeli ikan salai yang masih panas,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azman, permintaan ikan salai yang meningkat secara mendadak sepanjang bulan Ramadan ini menyebabkan ada kalanya bekalan ikan tersebut habis dijual selepas waktu tengah hari dengan purata lebih 30 ekor ikan salai sehari.
Dia memberitahu ikan salai patin dan tilapia dijual dengan harga antara RM55 hingga RM60 sekilogram mengikut manakala ikan sangkar hidup turut dijualnya dengan harga RM17 sekilogram.
Ketika mendedahkan rahsia keenakan ikan salainya, Azman berkata, ikan yang disiang dan dicampur kunyit, serbuk lada dan garam itu disalai di atas bara api kayu terpilih antara satu hingga dua jam.
“Ketika menyalai, aroma asap kayu api pada daging ikan menambat selera pelanggan. Kelazimannya, bagi penduduk di daerah ini gemar memasak lemak pedas campur ikan salai sebagai hidangan berbuka puasa dan tengah hari ketika di bulan lain.
“Kami sentiasa menjaga kualiti ketika menyalai termasuk pemilihan kayu api dan teknik menyalai supaya pelanggan berpuas hati dan akan kembali semula berbelanja di gerai kami,” ujarnya. -K! ONLINE














