fbpx

Kereta ditembak polis, penyeludup mercun nekad lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta jenis Honda Accord yang membawa muatan mercun ditinggalkan suspek selepas ditembak polis di Peringat, Kota Bharu hari ini. - Foto IHSAN KETUA POLIS KELANTAN

KOTA BHARU – Seorang lelaki dipercayai anggota sindiket penyeludupan bertindak nekad untuk melarikan diri meskipun kereta dipandunya yang membawa muatan pelbagai jenis mercun telah ditembak anggota polis dalam kejadian di Peringat di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.05 pagi itu, kereta jenis Honda Accord yang dipandu suspek ditemui telah ditinggalkan di kawasan tanah perkuburan di Kuin, Peringat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sebelum kejadian itu, dua buah kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas telah mengejar kereta yang dipandu suspek dari Jalan Aur Duri, Ketereh di sini.

Katanya, apabila tiba di kawasan jalan mati di Peringat, suspek enggan memberhentikan kereta dan cuba untuk merempuh anggota polis.

“Insiden itu menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek yang telah memecut laju ke arah Kampung Seterpa di sini.

“Berpandukan maklumat dan penunjuk arah daripada penduduk kampung, kereta yang dipandu suspek ditemui sudah ditinggalkan di tanah perkuburan di Kuin,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Shafien, pemeriksaan lanjut telah menjumpai kotak-kotak yang berisi mercun pada bahagian penumpang belakang dan bonet kereta itu.

Katanya, berdasarkan semakan, tiada rekod kes yang melibatkan kehilangan kereta berkenaan dilaporkan.

“Polis sedang mengesan suspek yang memandu kereta itu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1970 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI