fbpx

12 kertas siasatan dibuka berhubung penularan berita tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Huzir Mohamed

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sebanyak 12 kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 sejak ia dikuatkuasakan pada 12 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, terbaharu, satu kertas siasatan berhubung kenyataan Facebook oleh penama ‘Muhammad Fahmi Abdullah’ yang dikesan pada Isnin lalu.

“Ia berhubung pesawat penerbangan MH 191 dari New Delhi, India yang dikatakan membawa masuk penumpang ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dalam perkembangan lain, PDRM turut menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook ‘Wan Hilmi Wan Mohd. Nor Hilmi’ di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana hantaran jelik dan mengaibkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kedua-dua hantaran tersebut dibuat selepas kerajaan mengeluarkan arahan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu.

“Arahan tersebut bertujuan melaksanakan sekatan sementara penerbangan penumpang keluar masuk dari negara India bagi mencegah kemasukan varian baharu Covid-19 di negara ini.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik-pemilik akaun Facebook tersebut merupakan berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19,” jelasnya.

Katanya, Ordinan Darurat(Kuasa-Kuasa Perlu)(No. 2) 2021 yang diwartakan pada 11 Mac lalu adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

“Ia memberi kuasa kepada PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia(SKMM) untuk menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiarkan atau menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.

“Seksyen 4(1) Ordinan Darurat memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana orang yang melalui apa-apa cara dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau menyebarkan berita tidak benar,” tegasnya.

Tambahnya, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI