fbpx

Penganjur bazar Aidilfitri dikompaun RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Penganjur bazar Aidilfitri di Midtown Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini dikompaun sebanyak RM20,000 selepas didapati gagal memastikan pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tawaran kompaun itu dikeluarkan pihaknya selepas mendapati penganjur masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) biarpun telah diberi amaran sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati laluan yang sempit di bazar itu menyukarkan penjarakan fizikal dalam kalangan pengunjung selain terdapat gerai yang membenarkan pelanggan melebihi jumlah ditetapkan dalam satu masa.

“Kompaun RM20,000 dikeluarkan kepada perbadanan iaitu penganjur, namun pengunjung mematuhi SOP apabila kesemua mereka memakai pelitup muka.

“Pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut mengeluarkan notis supaya penganjur mengambil langkah sewajarnya dalam kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi bersepadu di dua bazar Aidilfitri di daerah SPU malam tadi.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya berpuas hati terhadap usaha penganjur Karnival Mahabbah di Bertam, Kepala Batas di sini yang menambah baik pelaksanaan SOP selepas diberi amaran minggu lalu.

“Penganjur berjaya memastikan semua teguran pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan MBSP sebelum ini dipatuhi seperti menyediakan laluan keluar-masuk yang baik.

“Biarpun pengunjung agak ramai, tetapi penjarakan fizikal dipatuhi dan penganjur mengawal kemasukan 450 orang dalam satu masa dengan menyediakan tag khas,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di bazar Aidilfitri dan bazar Ramadan di daerah itu bagi memastikan penganjur dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI