fbpx

Negara lain turut guna rizab, tabung amanah hadapi Covid-19 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

PUTRAJAYA – Bukan hanya Malaysia, pelbagai negara lain turut menggunakan dana daripada rizab atau tabung amanah untuk menangani krisis Covid-19 di negara masing-masing.

Menteri Kewangan,  Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai contoh, negara jiran, Singapura turut menggunakan rizab dalaman mereka bernilai hampir AS$40 bilion (RM163.8 bilion)

“Sebagai perbandingan, penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) oleh Malaysia adalah sekitar AS$1.2 bilion atau RM5 bilion.

“Selain itu, Ireland turut menggunakan AS$1.8 bilion (RM7.39 bilion) daripada dana ‘National Surplus (Exceptional Contingencies) Reserve Fund’ manakala, Norway pula menggunakan AS$37 bilion (RM152 bilion) daripada ‘Government Pension Fund Global’ mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Laporan LAKSANA ke-51 yang dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju bagi menggunakan dana KWAN berjumlah RM5 bilion bagi membiayai perolehan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Tengku Zafrul berkata, kerajaan komited untuk menambah semula dana KWAN apabila krisis kesihatan itu berakhir dan selepas kewangan kerajaan kembali kukuh.

Menurutnya, penggunaan dana KWAN dalam bentuk geran juga penting untuk memastikan defisit fiskal kekal di bawah sasaran 6.0 peratus pada penghujung tahun ini.

“Yakinlah bahawa kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat. KWAN dikawal selia oleh lima anggota lembaga pemegang amanah yang membuat semua keputusan dasar sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

“Lembaga pemegang amanah ini merangkumi wakil kerajaan dan swasta/professional. KWAN juga diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara.

“Oleh itu, elemen semak dan imbang kekal terjamin walaupun terdapat pindaan spesifik dan terhad ke atas penggunaan dana KWAN,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI