fbpx

Perokok berisiko lebih tinggi dapat komplikasi Covid-19 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Azmi

PUTRAJAYA – Perokok yang dijangkiti Covid-19 mempunyai risiko hampir dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat komplikasi seperti sindrom gangguan pernafasan akut, kerosakan buah pinggang dan kerosakan hati.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, dapatan tersebut diperoleh menerusi kajian dengan kerjasama oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Perkembangan Perubatan dan Institut Kesihatan Negara (NIH) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, ia telah dijalankan ke atas 5,889 pesakit Covid-19 yang dirawat di semua hospital seluruh negara pada 1 Februari hingga 31 Mei tahun lepas.

“Perbandingan antara golongan perokok dan bukan perokok menunjukkan perokok mempunyai risiko hampir dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat komplikasi Covid-19.

“Dapatan kajian tersebut juga selari dengan kenyataan dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kajian yang telah dijalankan di beberapa negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai dapatan kajian tersebut, Aryana menjelaskan, daripada 5,889 pesakit Covid-19, seramai 791 pesakit adalah perokok iaitu bersamaan 13.5 peratus manakala baki 5,098 pesakit bukan perokok.

Beliau berkata, perokok yang juga pesakit dijangkiti Covid-19 itu terdiri daripada 773 orang lelaki atau 97.7 peratus manakala, seramai 18 orang atau 2.3 peratus dalam kalangan wanita.

“Perokok yang bermasalah jantung, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan penyakit darah tinggi, peratusannya adalah lebih tinggi mendapat komplikasi dibandingkan dengan bukan perokok,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dari segi tahap keterukan jangkitan Covid-19, perokok yang dijangkiti mempunyai tahap keterukan jangkitan lebih tinggi berbanding golongan bukan perokok.

“Untuk tahap tiga (jangkitan paru-paru tidak memerlukan bantuan pernafasan), sebanyak 14.2 peratus adalah perokok berbanding bukan perokok sebanyak 13.5 peratus.

“Bagi tahap empat (jangkitan paru-paru memerlukan bantuan pernafasan), sebanyak 4.4 peratus adalah perokok manakala, bukan perokok pula sebanyak 3.4 peratus,” katanya.

Tambah beliau, bagi tahap lima iaitu kritikal, sebanyak 1.6 peratus adalah perokok manakala, sebanyak satu peratus bukan perokok.  -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI