DALAM menjalani ibadah puasa, banyak kebaikan yang boleh diraih oleh umat Islam selain merebut ganjaran pahala berganda.
Puasa juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia dan pada masa sama dimanfaatkan segelintir pihak untuk menurunkan berat badan.
Namun, ada satu peluang yang boleh dimanfaatkan satu golongan ini untuk keluar daripada tabiat buruk mereka.
Golongan yang dimaksudkan tersebut adalah perokok atau pengguna vape yang mana mereka boleh menjadikan bulan Ramadan sebagai peluang untuk mengurangkan atau sebaiknya berhenti daripada memasukkan racun ke dalam badan.
Kedatangan bulan Ramadan merupakan satu peluang bagi perokok tegar untuk memulakan misi berhenti merokok dan seharusnya tekad ini diambil oleh masyarakat Muslim di negara ini.
Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Suriani Ismail berkata, Ramadan adalah satu bulan yang istimewa kerana menyediakan persekitaran yang kondusif untuk perokok mula berhenti merokok.
“Perokok akan berasa lebih mudah untuk berhenti kerana persekitaran serta durasi berpuasa selama 14 jam sedikit sebanyak membantu berbanding dengan masa lain,” katanya.
Tambahnya, perokok tidak menyedari mereka pencetus kepada berlakunya perokok pasif dan perokok tertier yang memberi kesan kesihatan kepada masyarakat sekitar.
Katanya, umum juga mengetahui bahawa tabiat merokok adalah bahaya dan mempunyai pelbagai kesan buruk kepada manusia, namun bagi perokok tegar, perkara tersebut tidak diambil serius dan menganggap ia tidak penting.
“Mereka yang menghidu asap rokok akan mendapat implikasi sampingan kesan daripada asap rokok yang dibebaskan serta sisa asap rokok pada kawasan sekitar oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak.
“Nasihat saya kepada perokok ambil peluang di bulan yang mulia ini untuk berhenti merokok demi kesejahteraan diri dan membudayakan gaya hidup yang sihat bukan sahaja untuk diri sendiri malah keluarga dan masyarakat sekitar,” ujarnya.
Tambah beliau, perokok yang berhenti merokok akan memperoleh manfaat kesihatan yang lebih optimum.
“Individu yang berhenti merokok dapat mengurangkan risiko penyakit kanser, serangan jantung, jantung koronari, strok, vaskular periferal dan juga tahap kesihatan seisi keluarga akan lebih baik dalam melahirkan generasi yang bebas merokok di masa depan,” ujarnya.
Terdahulu Suriani bersama rakan penyelidik daripada Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM bersama pelajar perubatan FPSK, UPM menjalankan kajian mengenai
Kesan intervensi Berhenti Merokok Berasaskan Akidah pada bulan Ramadan dalam Kalangan Perokok Melayu pada tahun 2016.
Kongsinya, melalui hasil kajian tersebut program intervensi dibangunkan kepada golongan sasar yang berhenti rokok di bulan Ramadan adalah positif antaranya penurunan paras nikotin dalam air liur perokok.














