Jalan taman perumahan, tetapi sesak teruk bagaikan berada di ‘lebuh raya’ pada musim perayaan.
Itu situasi yang sering berlaku di beberapa kawasan taman perumahan di pinggir bandar pada waktu puncak ketika warga kota pergi dan pulang bekerja dengan memandu kereta.
Ditambah pula dengan urusan menghantar anak-anak ke sekolah berdekatan rumah menyesakkan lagi jalan raya di kawasan taman perumahan.
Kesesakan kini bertambah teruk sepanjang Ramadan ini memandangkan masa pergi dan pulang bekerja kebanyakan warga kota serentak.
Jika tidak mahu menempuh kesesakan teruk, ada penduduk yang keluar sebelum subuh dan pulang ke rumah selepas maghrib.
Kebanyakan taman perumahan tidak menyediakan banyak laluan keluar ke jalan utama. Ada kawasan yang hanya mempunyai satu atau dua akses utama menyebabkan aliran trafik padat.
Bayangkan sekiranya satu kawasan perumahan itu mempunyai ratusan ribu penduduk, tetapi laluan keluar pula terhad. Jarak perjalanan hanya sejauh tiga kilometer, tetapi masa yang diambil lebih 30 minit apabila kereta bergerak seperti ‘kura-kura’.
Maka tidak hairanlah akan berlaku kesesakan teruk kerana kapasiti jalan tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang banyak.
Kebanyakan warga kota kini lebih suka membeli atau menyewa rumah di lokasi yang jauh dari bandar-bandar besar kerana kadar sewa atau harga rumah lebih rendah berbanding kediaman di tengah-tengah bandar besar.
Mereka sanggup berulang-alik memandu kereta setiap hari biarpun tempoh perjalanan mengambil masa lama sehingga ada yang melebihi dua jam, asalnya kadar sewa atau harga rumah itu murah.
Semakin banyak kawasan perumahan baharu wujud di pinggir bandar dan makin bercambah rumah-rumah dibina di satu-satu kawasan sehingga menjadi padat.
Bagaimanapun, jaringan jalan raya di kawasan perumahan langsung tidak berkembang, masih berada pada takuk lama.
Penduduk terpaksa menanggung risiko apabila mereka bagaikan membeli atau menyewa rumah berserta ‘pakej’ kesesakan jalan raya.
Setiap hari terpaksa menempuh kesesakan. Itu belum lagi memasuki lebuh raya dan jalan raya di bandar-bandar besar yang kebanyakan lokasi mengalami kesesakan teruk pada waktu puncak.
Suka tidak suka mereka terpaksa menempuhnya. Masalah ini bagaikan tiada noktah, malah kelihatan lebih parah dan merugikan banyak pihak.
Banyak faktor menyebabkan berlakunya kesesakan. Antara punca utama jumlah kenderaan melebihi kapasiti di atas jalan raya dan ‘bottleneck’ selain gangguan aliran trafik seperti kemalangan atau penutupan lorong jalan.
Masalah semakin teruk apabila jumlah kenderaan yang berada di jalan raya bertambah setiap tahun.
Justeru, pemaju perlu membuat perancangan rapi dalam membangunkan sesuatu kawasan perumahan terutama infrastruktur jalan raya yang lebih efisien untuk jangka masa panjang.














