fbpx
Gambar hiasan

Addy Kana, 2 polis bebas tahanan POCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan dua anggota polis berpangkat koperal dibebaskan dari tahanan reman di bawah Akta Pencegahan Jenayah POCA 1959 oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Mereka ialah Zaidi Kanapiah, atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kana,’ Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Koperal Mohd. Hairy Mohammad, yang berusia lingkungan 35 hingga 40 tahun.

Keputusan sebulat suara itu dibuat selepas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim membenarkan rayuan Addy Kana dan dua polis selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengekalkan kesemua mereka dalam tahanan reman POCA.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata pihak responden gagal membuktikan dari segi undang-undang untuk menjustifikasi kesahihan penahanan perayu dibawah POCA.

“Rayuan perayu dibenarkan, perintah Mahkamah Tinggi diketepikan, justeru semua perayu dibebaskan dari tahanan segera,” kata hakim itu.

Selain Tengku Maimun, empat lagi Hakim yang turut bersidang ialah Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Dalam prosiding yang dibuat melalui dalam talian Zoom itu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili perayu iaitu Addy Kanan dan dua anggota polis manakala Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti mewakili responden iaitu Asisten Superitendan Khairul Fairoz Rodzuan, Majistret Mahkamah, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Pada 2 November lalu, Kosmo! melaporkan ketiga-tiga mereka kekal dalam tahanan reman Akta Pencegahan Jenayah POCA 1959 selama 38 hari bermula 30 Oktober sehingga 6 Disember 2020 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.-K! ONLINE

POPULAR