PETALING JAYA – “Orang Kelantan tolong kekal di mana anda berada. Shah Alam tengah tenang. Kajang sedang aman. Klang, sentosa.”
Itu gurauan dimuat naik pemilik akaun Threads, @Raid.afid yang tular di media sosial ketika ramai warga Pantai Timur pulang ke kampung sempena cuti Aidiladha.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi lucu netizen yang rata-ratanya mengaitkan ‘kehilangan’ orang Kelantan di Lembah Klang dengan suasana jalan raya lebih lancar selain penutupan sementara premis makanan Pantai Timur.
Seorang pengguna mengakui perjalanan ke tempat kerja menjadi lebih mudah sepanjang tempoh cuti.
“Gembira pergi kerja. Keluar rumah dekat pukul 8 pagi pun masih sempat sampai sebelum 8.30 pagi,” kata pengguna, @Ashikinshahron.
Namun, ada pula netizen yang mendakwa suasana ‘tenang’ itu sebenarnya menimbulkan masalah lain apabila banyak premis makanan Pantai Timur mula ditutup sementara.
“Kedai ayam kampung, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi kakwok habis semua tutup ni. Takkan lima hari kami nak kena makan mamak atau masak megi (mi segera) je,” kata pengguna @Hanix_alias.
Turut mencuri perhatian ialah komen pengguna yang mengakui sudah mula merindui makanan Pantai Timur.
“Saya di Shah Alam tak tenang, saya dah rindu tomyam ni. Sakit kepala hari-hari mamak,” ujar @Nremyliaa.
Seorang lagi pengguna, @Incik_konoha turut berkongsi situasi sama apabila mendakwa majikannya meminta pekerja kembali segera bekerja kerana operasi tapak projek terjejas.
“Bos dah bising dekat grup suruh balik sebab tak ada orang jaga tapak projek. Boleh rugi juta-juta sehari,” katanya. – KOSMO! ONLINE














