fbpx

Sentuhan Mohd. Sorikh pastikan anggota APMM ‘kenyang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SORIKH menyediakan hidangan berbuka puasa buat anggota APMM yang bertugas di Kapal KM Perwira baru-baru ini.

KOTA TINGGI – Menjadi orang penting selepas kapten kapal bukanlah tugas mudah, namun itu tanggungjawab yang perlu digalas Laskar Kelas I Maritim Mohd. Sorikh Aidi Zainal, 31, sebagai Chief Of Galley (COG) atau tukang masak di Kapal KM Perwira.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, sejak diberi tugas sebagai cef di kapal itu, pelbagai ilmu masakan yang dipelajari daripada orang tuanya telah dipraktikan demi memastikan perut semua anggota Maritim Malaysia (APMM() di kapal berkenaan terisi.

Menceritakan rutin hariannya pada bulan Ramadan, Mohd. Sorikh berkata, dia mula menyiapkan juadah sahur seawal pukul 3 pagi setiap hari.

“Di kapal ini, saya akan masak untuk 21 orang. Bermula pukul 3 pagi, saya akan mula memasak manakala untuk berbuka, bia­sanya saya akan menyiapkan juadah seawal pukul 3 petang de­ngan dua menu berbeza.

“Sebelum belayar, biasanya saya akan beli barang-barang mentah untuk stok sepanjang berada di atas kapal,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Sorikh ditemui ketika pemantauan dilakukan Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria yang meninjau penguatkuasaan dilaksanakan Kapal KM Perwira ketika bulan Ramadan di sekitar perairan Johor Timur.

Dia yang baru enam bulan bertugas di Johor berkata, antara cabaran memasak di atas kapal adalah ketika waktu cuaca buruk iaitu apabila kapal berada dalam keadaan tidak stabil.

Bagaimanapun katanya, sebagai tukang masak yang diama­nahkan, dia harus menyiapkan hidangan mengikut kreativiti sendiri agar anak kapal tidak kelaparan.

“Biasanya menu hari raya kami masak beramai-ramai pada pagi Syawal lepas subuh,” katanya. -K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI