PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima sambutan rasmi penuh istiadat daripada Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov di Istana Presiden di Ashgabat, sempena lawatan rasmi beliau ke negara Asia Tengah itu.
Anwar berkata, sambutan tersebut mencerminkan keakraban hubungan dua hala serta persahabatan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Turkmenistan.
Menurut beliau, selepas istiadat rasmi berkenaan, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata dalam suasana mesra bagi membincangkan hala tuju hubungan serta usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Tumpuan diberikan kepada usaha memperluas kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar memulakan hari Jumaat di Ashgabat dengan menghadiri istiadat meletakkan bunga dan menanam pokok di Independence Monument of Turkmenistan sebagai tanda penghormatan terhadap sejarah, kedaulatan dan perjuangan pembentukan negara itu.
Monumen berkenaan dibina bagi memperingati kemerdekaan Turkmenistan daripada Kesatuan Soviet pada tahun 1991 dan menjadi simbol utama kedaulatan serta identiti negara moden tersebut.
Menurut Anwar, majlis itu turut melambangkan hubungan persahabatan yang semakin kukuh antara Malaysia dan Turkmenistan yang berteraskan saling hormat, kepercayaan serta komitmen untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang. – KOSMO! ONLINE














