fbpx

Sakit, tak larat alasan ponteng puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUAT kuasa JAINJ memberikan notis kepada dua kaki ponteng puasa di sebuah warung di Johor Bahru semalam.

Oleh SYALMIZI HAMID, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, MOHAMAD FAIZAL HASHIM dan NUR ANATI JUHARI

JOHOR BAHRU – Sakit, tidak larat dan tidak sempat bersahur merupakan antara alasan yang digunakan oleh 23 individu yang ditahan ponteng puasa oleh pe­nguat kuasa Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ) sejak hari pertama Ramadan 13 April lalu.

Ketua Penolong Pengarah bahagian penguat kuasa JAINJ, Dzulkafli Mohamad berkata, ke­semua 23 individu yang dikenakan saman hadir itu berusia 20 hingga 50 tahun yang ditahan di seluruh negeri ini.

Katanya, mereka dikesan makan pada waktu siang di bulan Ramadan kebanyakannya di restoran dan warung makan.

“Bermacam-macam alasan yang mereka berikan kepada anggota penguat kuasa ketika membuat tinjauan antaranya tidak tahan hendak berpuasa, sakit dan lain-lain lagi.

“Kebanyakan kaki ponteng puasa yang ditahan ini adalah individu yang berbeza. Penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan di seluruh daerah,” katanya.

Di Kedah, kaki ponteng puasa di negeri ini dikesan menggunakan taktik dengan melepak dan membeli makanan di kedai makan bukan Islam bagi mengelak dikesan penguat kuasa agama.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Hal Eh­wal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya me­lakukan sebanyak lima tangkapan sepanjang operasi sejak se­minggu umat Islam berpuasa.

“Dua tangkapan dibuat di daerah Kubang Pasu kerana me­rokok, manakala tiga lagi tangkapan di Sungai Petani kerana minum di tempat awam.

“Rata-rata mereka menggunakan alasan pelik untuk melepaskan diri seperti sedang mendapatkan rawatan hospital, beli makanan untuk anak dan hanya bersembang di kedai makan berkenaan.

“Taktik menggunakan orang tengah juga masih digunakan kaki ponteng puasa ini, namun ada segelintir peniaga kedai makan beroperasi awal untuk menjual makanan secara bungkus kepada mereka,” ujarnya.

Di Pulau Pinang, seramai 13 lelaki beragama Islam didapati tidak berpuasa dalam tempoh sembilan hari Ramadan di seluruh negeri ini sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Mohd. Zakuan Zakaria berkata, individu berusia di antara 20 hingga 50 tahun itu kebanyaknnya memberi pelbagai alasan klise iaitu kerana tidak sihat dan tidak bersahur ketika ditahan pihaknya.

“Mereka didapati melakukan kegiatan itu semasa pemantauan di 80 lokasi di lima daerah negeri ini merangkumi premis-premis makanan, kawasan-kawasan industri dan lokasi awam lain.

“Antara kegiatan yang dikesan adalah seperti merokok di tempat awam serta makan dan minum dengan tidak menghormati bulan Ramadan,” katanya.

Di Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah melakukan 67 operasi pemantauan di kawasan-kawasan dikenal pasti bagi membanteras ‘geng plastik hitam’.

Pengarah JAIP Datuk Dr. Zul­kifle Ali berkata, operasi pemantauan berkenaan dilakukan di 57 buah lokasi dikenal pasti di seluruh negeri.

“Pemantauan dilakukan di lokasi-lokasi panas, tiada kes dilaporkan dan para peniaga juga didapati akur dengan arahan pihak berkuasa tempatan de­ngan memulakan perniagaan bermula pukul 3 petang,” katanya.

Bagi semua kesalahan tersebut, pihak berkuasa akan mengeluarkan notis hadir memberi keterangan di Bahagian Penguat kuasa di bawah Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri masing-masing. -K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI