fbpx

25 individu ditahan terbabit iklan raya promosi judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular memaparkan beberapa individu menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan gembira sambil menyanyikan lagu yang liriknya mempromosikan aktiviti perjudian online.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 25 individu berhubung siasatan membabitkan empat buah video iklan Hari Raya yang dipercayai mempromosikan aktiviti perjudian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, daripada jumlah 25 individu tersebut, seramai 12 individu masih berada dalam tahanan reman bagi membantu siasatan.

“Seramai 13 individu telah ditahan selepas dipercayai terbabit bagi video pertama manakala video kedua, enam individu telah ditahan,

“Sementara video ketiga dan keempat pula, masing-masing membabitkan empat serta dua individu,” Katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Polis sebelum ini mendedahkan beberapa pelakon di dalam video iklan terbabit dibayar dengan harga RM180 hingga RM200 oleh syarikat produksi tersebut.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan PDRM akan mengesan penerbit serta pelakon-pelakon yang terlibat dalam penghasilan satu video iklan Hari Raya yang didapati mempromosikan aktiviti perjudian.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan yang dilakukan mendapati isi kandungan video berdurasi 2 minit 1 saat itu jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat asal-usul video ini yang akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon yang terlibat dalam penghasilannya.

“Mereka akan dikesan serta dipanggil untuk memberi keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI