fbpx

Antara ‘Umayyah moden’ dan Lee Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

“Siapa yang bayar gaji you, saya atau you punya Allah? You mahu ikut Allah atau you mahu ikut saya. Tengok dia boleh kasi you gaji ke? Saya boleh tembak sama you, tengok Allah boleh tolong ke?”

Itu kata-kata angkuh didakwa diucapkan seorang majikan yang baru-baru ini menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia apabila dua pengawal peribadinya dibelasah dengan rotan sehingga luka teruk di bahagian belakang badan selain diugut dengan pistol kerana menunaikan puasa yang merupakan kewajipan bagi setiap insan yang bersyahadah.

Kejadian ini bukan di Xinjiang, China; Rakhine, Myanmar atau di tempat-tempat lain, sebaliknya di sebuah negara bermajoriti Islam yang selama ini dikenali dengan keharmonian dan toleransi beragama.

Penyeksaan yang dilakukan oleh seorang majikan ini seolah-olah mengingatkan penulis kepada peristiwa silam kala Umayyah bin Khalaf yang merupakan tuan kepada Bilal bin Rabbah menyeksanya demi meninggalkan ajaran Islam yang dianuti Bilal.

Umayyah yang disifatkan sebagai gila harta merupakan pencela dan penentang Islam utama pada zaman Rasulullah SAW sehingga dia merupakan salah seorang yang telah dijanjikan neraka.

Dialah yang dikatakan menjadi pemula penyiksaan kepada penganut Islam sehingga diikuti para tuan dan penguasa yang lain ke atas pekerja atau orang bawahan mereka yang memeluk Islam.

Bilal diseksa dengan teruk termasuk ditindih badannya dengan batu besar serta diancam siksaan yang berterusan.

Berbalik insiden yang mencalar toleransi beragama di Malaysia itu, ia seharusnya dianggap serius. Ini bukan soal paksaan orang mengingkari Rukun Islam semata-mata tetapi juga Rukun Negara.

Majikan tersebut seolah-olah lupa ‘Kepercayaan kepada Tuhan’. Hal ini juga bukan soal melanggar mana-mana akta semata-mata, bahkan lebih besar lagi mencabuli Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan yang memperuntuk kebebasan buat semua untuk mengamalkan ajaran masing-masing di negara ini.

Alangkah bahagianya Malaysia ini andai semua rakyatnya berjiwa seperti legenda badminton Datuk Lee Chong Wei yang ternyata bukan sahaja ikon sukan bahkan ikon sejati Malaysia.

Biarpun bukan Islam seperti majikan tadi, Chong Wei baru-baru ini menyentuh hati ramai dengan coretannya memujuk anaknya berumur 8 tahun yang tidak mengerti mengapa dua sahabat karib Melayunya tidak turut makan bersama di sekolah.

“Kamu kena nasihat kawan-kawan Cina, India dan lain, mesti sokong kawan-kawan Melayu menjalankan ibadah puasa. Kena bertolak ansur dan hormat sesama lain. Bayangkan kalau tak bertolak ansur, awak main mercun semasa New Year mestinya dimaki. Jika tidak hormat, kawan India buat perarakan Thaipusam semestinya dihalang. Andainya tidak menghormati sesama lain, tak mungkin shopping mall KL ada Christmas tree masa Krismas,” ujar Chong Wei menerusi Facebook miliknya.

Apapun penulis ucapkan syabas kepada dua pengawal peribadi itu kerana masih mempertahankan puasa meskipun dilarang keras bos mereka. Ternyata mereka memiliki iman yang lebih kuat berbanding golongan Geng Plastik Hitam yang enggan berpuasa kala budak kecil pun tabah menahan lapar dan dahaga. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI