fbpx

‘Harga ayam naik, peniaga tiada pilihan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERMINTAAN pengguna terhadap ayam di Pasar Besar Seremban semalam agak menurun berikutan harganya yang agak tinggi.

SEREMBAN – Harga ayam pro­ses mula mengalami kenaikan mendadak sehingga mencecah RM10 sekilogram sejak awal Ra­madan selepas pihak pembekal dan peladang ayam mengenakan harga yang agak tinggi.

Seorang peniaga ayam yang mahu dikenali sebagai Muhammad, 24, berkata, peniaga tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga walaupun memahami ekonomi kebanyakan masyarakat sekarang tidak stabil ekoran pandemik Covid-19.

“Memang tidak dinafikan, harga ayam agak tinggi sekarang RM10 sekilogram iaitu melambung naik sejak dua minggu lalu berbanding sekitar RM8.50 sebelum ini.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menaikkan harga, namun peniaga hanya peroleh keuntu­ngan kecil berikutan harga yang dikenakan pembekal terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Seremban semalam.

Menurut Muhammad, jualan ayam juga sedikit menurun sejak kebelakangan ini dan peniaga menerima rungutan daripada pembeli yang memberitahu harga­ ayam naik mendadak sekarang.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata peniaga ayam mengenakan harga sekitar RM10 sekilogram dan harga naik sebanyak 20 sen secara berperingkat sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, seorang peniaga­ daging, Ahmad Saufi Zulkifli, 33, berkata, harga daging tempatan juga mengalami kenaikan mencecah RM38 sekilogram di­sebabkan faktor sama iaitu peladang dan pembekal mengenakan harga tinggi.

“Harga daging (tempatan) memang tinggi sekarang dan kami sebagai peniaga tersepit dan terpaksa menjual pada harga tinggi kerana harga yang diberikan pembekal juga tinggi.

“Bagi daging batang pinang pula mencecah harga RM40 sekilogram, macam saya sendiri memang sepenuhnya mengambil bekalan daging daripada peladang dan perlu ikut harga ditetapkan,” katanya.

Bagi seorang pembeli, Fazidah Sheikh Ali, 60, harga ayam memang naik sedikit berbanding sebelum ini tetapi kualiti ayam yang ditawarkan di pasar ini segar.

“Walaupun harga ayam naik, saya tetap membeli di pasar ini ke­rana kualiti ayam segar dan bersih, ketika Ramadan memang biasanya harga ayam naik sedikit,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI