fbpx

Rebut emas Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramadan kali ini membawa kegembiraan buat mereka yang merindui suasana tarawih berjemaah. - Gambar hiasan
ZURAINI MOHD KHALID

HARI ini merupakan hari pertama rakyat Malaysia menyambut bulan Ramadan 2021.

Jika tahun lalu, Ramadan di­sambut penuh kejutan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, tahun ini kemeriahannya dikembalikan apabila kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan semula pelaksanaan beberapa aktiviti Ramadan.

Jika tahun lalu, tiada tarawih, majlis iftar, bazar Ramadan dan tadarus al-Quran, tahun ini nikmat itu dikembalikan semula walaupun dengan prosedur operasi standard yang ketat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Ajib Ismail pada bulan lalu mengumumkan solat tarawih dibenarkan mengikut kapasiti masjid dan surau dengan imam membaca surah-surah pendek.

“Jawi turut menetapkan jamuan berbuka puasa tidak dibenarkan tetapi Jawatankuasa Kariah digalakkan memberikan sumbangan berbuka yang disalur terus kepada penerima.

“Moreh juga tidak dibenarkan tetapi boleh menyediakan makanan secara berbungkus selepas tarawih untuk dibawa pulang oleh jemaah,” jelas Mohd. Ajib.

Pengumuman itu, biarpun datang dengan peraturan yang ketat nyata memberi kegembiraan buat orang ramai yang amat merindui suasana tarawih berjemaah.

Penulis percaya, selepas manisnya ibadah itu dibawa pergi, tatkala ia kembali, pasti akan dihargai sepenuh hati.

Namun, dalam kegembiraan menyambut kembalinya norma Ramadan yang dirindui, pengumuman pembatalan bazar Ramadan di Kelantan kelmarin nyata memberi kesan kepada penduduk negeri itu yang setiap tahun me­nyambut bulan ibadah itu dalam suasana penuh kemeriahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin memaklumkan perkara berkenaan menerusi status di akaun Facebooknya kelmarin susulan catatan kluster baharu di negeri itu.

Mungkin hikmah belum boleh beli juadah ayam percik di bazar tahun ini adalah supaya boleh sempurnakan resepi ayam percik yang dipelajari tahun lalu bersama ahli keluarga di rumah.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor, Ramadan kali ini pasti memberi seribu satu hikmah lain kepada umat Islam selepas nikmat berbuka puasa dan bertarawih serta aktiviti ibadah di masjid diambil sepenuhnya tahun lalu.

“Jika Ramadan tahun lalu berbeza, bulan puasa kali ini juga begitu. Jika tahun lalu kita semua menyambutnya dengan norma baharu, Ramadan tahun ini juga sama yang mungkin akan jadi satu kebiasaan jangka panjang.

“Tahun lalu, kita diuji dengan terhalangnya aktiviti Ramadan yang menjadi kebiasaan se­perti solat tarawih di masjid yang memang dikejar setiap tahun. Namun, bahagia Ramadan tahun lalu berbeza apabila semua berpeluang menghabiskan masa bersama keluarga.

“Apabila berpeluang kembali mengimarahkan masjid dengan solat sunat tarawih dan iftar tahun ini, biarpun dilaksanakan dengan SOP ketat, itu sudah cukup memberikan satu nikmat yang cukup menggembirakan maka rebutlah peluang ini,” kata Wan Salim ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Tambahnya, fitrah manusia, hanya selepas sesuatu itu pergi barulah ia dihargai. Jika tidak diuji, kita tidak tahu erti menghayati. Hikmah terbesar yang diperoleh daripada ‘suramnya’ Ramadan akibat Covid-19 sudah tentunya perasaan untuk lebih menghargai.

“Manusia tidak terlepas daripada sebarang ujian dan ujian seri Ramadan dibawa pergi tahun lalu itu sedihnya memang dirasai. Justeru, pengajaran terbesar kita sudah tentulah untuk menghargai setiap apa pun nikmat yang diberikan oleh Allah SWT dengan sentiasa bersyukur dan sentiasa berikan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan,” jelasnya.

Jika ramai yang menganggap Ramadan tahun lalu sebagai bulan terbaik yang pernah dijalani, hari ini boleh menjadi penentu untuk buat lebih baik lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI