fbpx
Pasukan penyelamat sedang di dalam proses mengalihkan ranting dan dahan pokok dari landasan. - FOTO: Ihsan Bomba

Penumpang terkandas dalam LRT selamat dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kesemua penumpang yang terkandas di dalam tren Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Sri Petaling dan Laluan Ampang akibat kejadian pokok tumbang sejak kira-kira pukul 6.30 petang tadi telah berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Rapid KL menerusi akaun Twitter rasminya @AskRapidKL sebentar tadi mengesahkan bahawa kesemua penumpang telah berjaya dikeluarkan namun kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok yang tumbang masih giat dijalankan.

“Kemaskini Laluan Ampang dan Sri Petaling, pemindahan penumpang telah sempurna dan pasukan penyelamat sedang di dalam proses mengalihkan ranting dan dahan pokok dari landasan,” jelas ciapan tersebut.

Tambahnya, perkhidmatan tren alternatif telah disediakan untuk kemudahan pengguna.

“Semua tren dari Sentul Timur ke Putra Height akan berakhir di Stesen Hang Tuah manakala tren dari Putra Height ke arah Sentul Timur kan berakhir di Stesen Salak Selatan.

“Waktu operasi juga akan tamat mengikut jadual waktu operasi asal iaitu sehingga tengah malam dan isu ini (terkandas) dijangka akan selesai menjelang tengah malam ini,” ujarnya.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang selepas sebatang pokok tumbang merentasi landasan tren dari Chan Sow Lin menghala ke Cheras.

“Kejadian telah mengakibatkan sebuah tren dengan penumpang terperangkap manakala beberapa buah tren lagi terkandas dan operasi mengeluarkan penumpang terpaksa mengambil masa yang lama berikutan hujan lebat.

“Adalah bahaya untuk mengeluarkan penumpang dan membiarkan mereka di atas landasan dalam keadaan hujan lebat jadi kami terpaksa menunggu sehingga hujan reda sebelum mengeluarkan mereka dan operasi memindahkan penumpang selesai kira-kira pukul 10.20 malam,”katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa tren yang terkandas masih belum dapat digerakkan.

“Tren berkenaan masih belum bergerak dan operasi serta kerja-kerja memotong pokok masih lagi sedang dijalanan.

“Penumpang telah berjaya keluar sendiri dengan dibantu oleh pihak kakitangan syarikat perkhidmatan tren dan anggota bomba di lokasi ke kawasan yang selamat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tentang Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Sri Petaling dan Laluan Ampang yang tergendala susulan kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat yang melanda ibu negara sejak petang tadi.- K!ONLINE