fbpx

10,000 wanita bakal terima manfaat Mamacare

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina mendengar taklimat yang disampaikan wakil Mamacare selepas majlis perasmian Bengkel Kejurulatihan (T. O. T) Program Memperkasa Wanita dan Keluarga Menangani Tekanan di Pusat Latihan LKIM Camar Laut, Bagan Lalang di sini. - Foto : NUR SHARIEZA

SEPANG – Seramai 10,000 wanita daripada kumpulan B40 bakal memperoleh manfaat  menerusi 1,000 Program Memperkasa Wanita dan Keluarga Untuk Menangani Tekanan melalui perkongsian kemahiran pengamal Mamacare yang dilaksanakan di seluruh negara tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, usaha itu secara tidak langsung mengangkat nilai keupayaan wanita dalam dunia keusahawanan dan kemahiran psikososial.

“Keupayaan ini dapat saya katakan sebagai satu pendekatan daripada wanita untuk wanita dan keluarga kerana perkhidmatan ini ditawarkan oleh usahawan wanita untuk membantu wanita dan keluarga di luar sana bagi menangani tekanan, terutamanya dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

“Justeru, menerusi program ini, kita cuba ketengahkan contohnya urutan tradisional Melayu tidak hanya sebagai rawatan alternatif, tetapi boleh membantu memberi keselesaan atau terapi daripada sebarang tekanan,” katanya pada majlis perasmian bengkel kejurulatihan program itu Pusat Latihan LKIM Camar Laut, Bagan Lalang di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Mastura Mohamad Darby dan Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah.

Dalam program berkenaan, Rina turut menyampaikan Bantuan Khas Perbendaharaan PENJANA bernilai RM1.2 juta kepada Persatuan Mamacare Malaysia.

Rina berkata, sejak program itu diperkenalkan, pengamal Mamacare yang terlatih berpeluang menjana pendapatan dari RM500 sehingga RM20,000 sebulan.

Katanya, pada tahun lepas sahaja, pendapatan pengamal Mamacare itu mencecah hampir RM10 juta yang seterusnya memberi manfaat kepada 54,271 orang.

“Bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan pengamal Mamacare, LPPKN telah membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan bagi Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 (DKM-4) Penjagaan Ibu Selepas Bersalin Mamacare yang diluluskan oleh Majlis Latihan Kemahiran Vokasional Malaysia,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI