JOHOR BAHRU – Pulau Batam, Indonesia merupakan lokasi popular yang digunakan sindiket penyeludupan migran sebagai transit untuk mengumpul pendatang asing tanpa izin (PATI) sama ada untuk masuk atau keluar dari negara ini.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, jarak Pulau Batam dengan pesisiran pantai Johor yang dekat antara faktor sindiket memilih lokasi berkenaan untuk transit.
Jelasnya, jarak antara Pulau Batam dengan perairan Johor hanya sembilan batu nautika (bn) atau kira-kira 16.67 kilometer (km).
“Sindiket memilih Pulau Batam sebab kawasan itu strategik, ada lapangan terbang dan ada perkhidmatan darat. Mereka (PATI) datang bukan hanya penduduk Batam tetapi mereka datang dari seluruh negeri lain sama ada dari Jawa, Kalimantan, Lombok atau daerah-daerah lain.
“Jarak pula dekat dari Batam ke Johor hanya 9 batu nautika, sempadan perairan antarabangsa kalau bahagi dua hanya 4.5 batu nautika. Jarak dekat memudahkan mereka untuk bawa PATI ini sama ada nak keluar atau masuk,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Nurul Hizam turut mendedahkan, sindiket akan membayar sejumlah RM500 untuk satu trip kepada tekong laut yang menyediakan perkhidmatan teksi air.
Kebanyakan tekong laut akan mengejar trip untuk mendapatkan bayaran lebih, malah ada yang mencecah RM5,000 sebulan.
Selain itu, beliau memberitahu, sindiket juga memasang tonto atau lebih dikenali pembocor maklumat.
“Pembocor maklumat ini akan menyalurkan pergerakan pihak berkuasa. Kita juga percaya mereka ini licik dan sentiasa mengikuti perkembangan, pergerakan serta mereka tahu bila masa kita keluar operasi dan sebagainya,” katanya














