fbpx

Langganan MWF bakal cecah RM50 juta akhir tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – BIMB Investment Management Bhd. (BIMB Investment), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Bhd. menyasarkan langganan bagi Dana Makmur myWakaf (MWF) mencecah RM50 juta menjelang akhir tahun ini.

Pengerusinya, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, sejak diperkenalkan pada 12 November 2020, MWF telah berjaya menarik langganan berjumlah RM11 juta setakat Mac lalu.

MWF merupakan dana unit amanah wakaf pertama dalam rangka kerja dana bercirikan wakaf di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Dana itu berpotensi meng­agihkan pendapatan bulanan dan menyalurkan 50 peratus agihan pendapatan sebagai aset untuk tujuan wakaf.

“Kami turut menyasarkan agihan keuntungan sebanyak lima peratus yang mana 2.5 peratus akan dimanfaatkan oleh pelabur manakala baki 2.5 peratus bakal disalurkan untuk tujuan wakaf.

“Dana ini sesuai untuk pelabur korporat dan individu yang ingin menyalurkan sebahagian ­pulangan pelaburan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik terutamanya dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran rasmi MWF yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Mohamed Ridza menambah, dalam usaha mengekalkan potensi peluang pendapatan, pendedahan pelaburan akan diperuntukkan ke pasaran sukuk, ekuiti patuh syariah dan aset berisiko rendah seperti ins­trumen pasaran Islam.

Beliau berkata, wakaf memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan ke­sejahteraan sesebuah negara.
Justeru, MWF diwujudkan untuk mempelbagaikan usaha berkaitan wakaf seiring perubahan zaman dan teknologi.

Sementara itu, Zulkifli berkata, wakaf merupakan instrumen penting dalam Islam yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan dan ekonomi ummah.

“BIMB Investment telah mengambil langkah yang cukup istimewa, unik dan inovatif menerusi penawaran dana ini.

“Ia memberi satu pilihan mudah kepada rakyat Malaysia bukan sahaja untuk menjana pendapatan malah menyumbang kebaikan yang lebih besar kepada komuniti,” katanya.

Dana tersebut turut membo­lehkan pelabur mengambil bahagian dalam prospek pendapatan pasaran Malaysia, Asia Pasifik dan global dengan peruntukan asetnya secara taktikal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI