fbpx

GeRAK perkukuh aktiviti bandar rendah karbon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim berucap pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2020 di Hotel Marriot Putrajaya di sini, hari ini. - FOTO : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melancarkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon atau GeRAK bernilai RM35 juta bagi memperkasa inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, geran itu dibuka kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bagi menggerakkan program bandar rendah karbon.

Beliau berkata, geran itu boleh digunakan PBT bagi penyediaan polisi, kolaborasi dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif rendah karbon di kawasan masing-masing.

“Saya menggesa semua PBT dapat memanfaatkan geran ini sebaiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, antara program yang boleh dilaksanakan termasuk meningkatkan kecekapan tenaga menerusi tenaga boleh diperbaharui;  kecekapan air dan penunaian air hujan serta mengurangkan jumlah sisa di tapak pelupusan sampah.

Beliau berkata, program lain yang boleh dilaksanakan oleh PBT adalah menambahkan pokok dan ruang hijau di kawasan bandar serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Dalam pada itu, katanya, jumlah keseluruhan pengurangan karbon di seluruh negara yang direkodkan dari tahun 2011 hingga 2020 menerusi program bandar rendah karbon adalah 148,572.20 tan karbon setara (CO2).

“Jumlah penyerapan karbon yang dicapai melalui inisiatif ini pula adalah sebanyak 43,682.75 tan karbon dioksida (CO2).

“Usaha-usaha pengurangan karbon yang dilakukan di seluruh negara ini adalah bersamaan dengan 4.8 juta batang pokok,” katanya.

Katanya, kementerian juga menyasarkan untuk mewujudkan 200 Zon Rendah Karbon dan 1,000 rakan kongsi rendah karbon menjelang 2030 di semua 154 PBT di seluruh negara.

Setakat ini, katanya, 64 daripada 154 PBT sudah diberi pendedahan konsep dan praktikaliti bandar rendah karbon dan secara tidak langsung telah menyumbang kepada pengurusan gas rumah kaca secara signifikan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI