AKTIVITI yang diceburi di universiti membuatkan Sophia lebih berani, berfikiran kreatif dan matang.

Sophia gilap kepimpinan, pupuk kesedaran alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHIDUPAN sebagai mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik, malah menjadi platform penting membentuk jati diri dan kemahiran insaniah.

Itu apa yang diperkatakan Sophia Tie Hui Ying yang kini berada di tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Alam Sekitar dengan Kepujian di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), UPM.

Bagi anak jati Miri, Sarawak berusia 23 tahun itu, bukan sekadar mengejar akademik, kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar perlu diperkukuh khususnya dalam kalangan belia.

“Sebenarnya tanggungjawab memelihara alam sekitar bukan hanya terletak pada dasar atau pihak tertentu tetapi bermula dengan tindakan kecil setiap individu.

“Tindakan mudah seperti mematikan suis elektrik, mengamalkan pengasingan sisa, kitar semula dan mengelakkan pembaziran makanan sebenarnya memberi kesan besar.

“Jika isu alam sekitar diabaikan, kita berdepan risiko seperti peningkatan suhu global, kepupusan spesies dan bencana alam yang semakin kerap,” katanya memulakan bicara bersama K-Kampus.

Tambahnya, hutan dan pokok menyediakan pelbagai keperluan kepada manusia seperti tempat perlindungan, sumber bahan mentah dan kertas.

Namun begitu, persoalannya adalah sejauh mana sumbangan kita dalam menjaga dan memelihara sumber-sumber ini.

Walaupun dia merupakan pelajar dalam bidang sains alam sekitar, Sophia berpandangan keupayaan menyesuaikan diri dan berinteraksi dengan pelbagai pihak sama penting dengan penguasaan ilmu teknikal.

Sepanjang pengajian, Sophia turut menyerlah sebagai pelajar yang proaktif apabila memegang beberapa peranan penting.

Antaranya seperti Ketua Unit Multimedia dan Technical dalam Pesta Kebudayaan Zhong Hua UPM, Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Perwakilan Pelajar FHAS (Forencs) serta sukarelawan pasukan media UPM semasa Majlis Konvokesyen Ke-49 tahun lalu.

Baginya, aktiviti kokurikulum merupakan platform penting untuk membina kemahiran insaniah yang sukar diperoleh sepenuhnya di dalam bilik kuliah.

“Saya banyak belajar tentang komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pengurusan masa.

“Pengalaman menganjurkan program serta berdepan situasi tidak dijangka melatih saya berfikir secara kreatif dan membuat keputusan dengan lebih matang,” katanya.

Jelasnya, penglibatan dalam aktiviti universiti juga meningkatkan keyakinan diri untuk bertanya, mendapatkan pandangan dan bekerjasama dengan individu yang mempunyai latar belakang serta kepakaran berbeza.

“Mengimbangi tuntutan akademik dan komitmen aktiviti bukanlah sesuatu yang mudah.

GADIS berusia 23 tahun ini (belakang dari kiri) juga memegang jawatan sebagai Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Perwakilan Pelajar FHAS (Forencs) UPM.

“Saya akui cabaran terbesar sering bersifat mental dan emosi, terutamanya apabila tugasan, mesyuarat dan program bertindih,” katanya.

Namun, Sophia mengamalkan disiplin diri melalui perancangan awal, pembahagian tugas secara sistematik dan pengurangan gangguan digital bagi memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik.

Di sebalik kesibukan, Sophia tetap mencari ruang keseimbangan diri.

“Saya juga meminati sukan bola tampar,” ujarnya.

Bagi Sophia, kehidupan di kampus bukan sekadar fasa akademik tetapi medan terbaik untuk membina potensi, memperluas jaringan sosial dan menyemai nilai tanggungjawab terhadap masyarakat serta alam sekitar.

Berkongsi mengenai sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, keluarganya seperti biasa akan berkumpul untuk makan bersama pada malam sebelum perayaan disambut.

“Makan malam ini sangat istimewa kerana ia mengumpulkan semua ahli keluarga termasuk yang jarang dapat berkumpul kerana bekerja atau menetap jauh.

“Kami akan berkongsi pelbagai juadah tradisional yang melambangkan kemakmuran, kesihatan dan keharmonian keluarga,” katanya.

Tambahnya, pada pagi Tahun Baharu Cina, dia sekeluarga akan menyambut perayaan itu dengan memberikan dan menerima angpau yang bukan sahaja simbolik tetapi juga melambangkan doa dan harapan baik antara ahli keluarga.

“Selepas itu, kami akan mengunjungi rumah saudara-mara dan rakan-rakan untuk mengucapkan selamat tahun baharu serta beramah mesra.

“Aktiviti ini memberi peluang untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan, sambil merasai suasana perayaan yang meriah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN