fbpx
GAMBARAN ilustrasi kelibat ular naga besar yang didakwa dilihat orang di kawasan sebuah pasar awam di Muar pada tahun 2004. ILUSTRASI SHAH HASAN

Misteri ular naga gemparkan pasar awam Muar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KIRA-kira dua dekad lalu, daerah Muar, Johor pernah digemparkan dengan kisah seekor ular naga bersaiz luar biasa didakwa membina habitatnya di Sungai Muar.

Kisah yang masih kekal misteri itu menjadi bualan hangat pada tahun 2004 hingga lokasi utama di Pasar Awam Maharani, Muar pada ketika itu tidak pernah surut menerima kehadiran pengunjung.

Anak jati Muar, Milah Kondil, 87, berkata, kisah ular naga mula menjadi bualan ramai ekoran dakwaan beberapa peniaga melihat kelibat reptilia bersaiz begitu besar di bawah pasar berkenaan.

“Sewaktu itu, keadaan pasar sesak ekoran orang ramai datang untuk melihat ular naga yang didakwa menghuni di bawah bangunan berkenaan.

“Beberapa individu di sekitar situ mengatakan bangunan pasar awam turut bergegar dan percaya ia adalah disebabkan ular naga yang menyusuri sungai bagi tujuan masuk dan keluar dari sarangnya.

“Sejauh mana kebenarannya, masih tidak dapat dipastikan, namun seluruh penduduk termasuk jiran tetangga saya tidak melepaskan peluang untuk pergi ke pasar bagi menantikan kemunculan haiwan tersebut.

“Namun semuanya kecewa kerana sepanjang beberapa hari di situ, ular naga tidak pernah menampakkan diri,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Menurut Milah, peniaga di situ percaya ular tersebut datang menghuni di bawah pasar ekoran aktiviti penjual yang gemar membuang kepala ayam termasuk perut ikan ke sungai.

 

Di dasar sungai pasar inilah dikatakan habitat ular naga yang sering menyusuri laluan untuk keluar dan masuk ke Sungai Muar. – NUR ALINA HASSAN

“Mereka percaya itulah yang mengundang haiwan itu datang. Namun terdapat juga versi berbeza apabila sebahagian masyarakat mendakwa, reptilia itu sebenarnya ular sawa yang bertapa di dasar sungai Muar.

“Keadaan saiznya menjadi terlalu besar kerana dikatakan zat makanan dari dalam sungai. Dakwa orang ramai, reptilia itu hanya muncul dengan bantuan bomoh dan dukun dari sekitar nusantara.

“Ada mendakwa saiznya sangat besar hinggakan kepalanya sebesar kereta dan sisiknya sebesar pinggan,” katanya.
Ujarnya, banyak yang mendakwa, hanya mereka yang bertuah sahaja dapat melihat rupa bentuknya yang turut dikaitkan dengan misteri makhluk halus.

“Mereka percaya ular berkenaan akan muncul sekitar waktu asar hingga ke maghrib. Selain itu, ada pemancing mendakwa pernah terlihat makhluk ini melintasi antara tebing sungai Muar.

“Bagaimanapun kisah ini hanya menjadi bualan selama hampir sebulan sebelum lenyap kerana tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan kewujudannya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Siti Hajar Mohd. Yusof, 44, berkata, ketika itu, dia yang masih berusia awal 20-an turut berkunjung ke pasar bagi melihat sendiri kesahihan perkara itu.

“Saya lihat orang terlalu ramai hinggakan dari Singapura dan negeri lain datang. Malah, terdapat juga pihak produksi televisyen yang membuat liputan, namun semuanya hampa kerana ular naga itu tidak pernah muncul.

“Keadaan di pasar pula sangat sesak dan meriah seperti ada pesta. Pihak polis juga turun ke lokasi dan terpaksa mengawal lalu lintas, manakala bomba pula bersedia sebagai langkah keselamatan.

“Ia berlaku selama lebih kurang seminggu sebelum semua pengunjung dari jauh beransur pulang hinggalah kisah itu terkubur begitu sahaja,” katanya.

—————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN