fbpx

Todak rancakkan saingan MES 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TODAK teruja mengambil bahagian dalam saingan MES 2021 dan tidak mahu memandang mudah lawan meskipun sebilangan besar mereka berstatus pasukan amatur pada kejohanan itu.

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI dan SITI NURHEZZATY MOHAMAD HAMDAN

KELAB e-Sukan profesional negara, Todak percaya tiada masalah buat mereka untuk menghantar skuad ‘B’ bagi mengharungi kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 yang memasuki pusingan kelayakan kedua bermula hari ini.

Sebagai rekod, Todak yang dianggap sebagai salah satu kelab e-Sukan terbaik negara mengharungi jadual padat ketika ini apabila turut bersaing pada Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang Malaysia (MPL) ketika ini.

Penolong pengurus pasukan Todak, Muhammad Rizwan Abdullah berkata, pembahagian pasukan yang dilakukan kali ini adalah disebabkan faktor strategi memandangkan dua kejohanan penting berlangsung serentak.

“Saya tidak katakan bahawa ada pembahagian skuad utama atau skuad kedua kerana semua pemain kami memiliki kelebihan masing-masing dengan peranan yang cukup penting dalam pasukan Todak.

“Namun, saya akui ada pemain yang akan memberi tumpuan khusus untuk bersaing dalam MPL manakala ada juga barisan pemain kita yang akan bersaing secara kompetitif pada kejohanan MES.

“Siapa sahaja barisan pemain yang diletakkan oleh pihak pengurusan diharapkan dapat memberikan permainan yang terbaik kerana kami memang berharap untuk melangkah jauh pada kejohanan MES kali ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Rizwan juga percaya anak-anak buahnya tidak akan memandang rendah dengan kualiti yang ada pada pencabar dalam kejohanan ini meskipun sebilangan besar mereka berstatus pasukan amatur.

“Secara jujur, saya sangat te­ruja menyaksikan kejohanan MES yang berjaya menghimpunkan skuad amatur dan skuad profesional. Justeru, saya percaya akan ada kejutan pada saingan kelayakan nanti dan kami tidak boleh mengambil mudah setiap pusingan,” katanya.

Sebagai rekod, kejohanan MES menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM20,000 bagi FIFA 2021, RM40,000 bagi Mobile Legends Bang Bang dan RM40,000 juga bagi permainan PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI