fbpx

Nilai ambang keberhutangan syarikat diwarta RM50,000 secara kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander Nanta Linggi.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil inisiatif meningkatkan nilai ambang keberhutangan syarikat  kepada RM50,000 secara kekal berkuat kuasa semalam bagi mengurangkan risiko penggulungan syarikat akibat pandemik Covid-19.

Nilai ambang itu diwartakan di bawah perenggan 466(1)(a) Akta Syarikat 2016 setelah mengambil kira keadaan ekonomi global ketika negara yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan pengekalan nilai ambang keterhutangan syarikat kepada amaun melebihi RM50,000 berbanding nilai ambang keberhutangan asal iaitu RM10,000 adalah penting bagi meringankan beban.

Katanya, ia juga penting antara lain bagi mengurangkan impak kepada syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai daripada tindakan penggulungan.

“Kenaikan nilai ambang keberhutangan syarikat ini dijangka akan terus dapat mengurangkan jumlah petisyen penggulungan.

“Dengan itu, syarikat mampu meneruskan urusan perniagaan dengan yakin serta masih mematuhi undang-undang berdasarkan relief kekal nilai amaun keterhutangan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alexander berkata, jumlah nilai ambang itu dianggap bersesuaian dan jalan tengah yang terbaik.

“Ianya tidak terlalu rendah hingga menyebabkan syarikat diambil tindakan penggulungan oleh mana-mana pemiutang dengan jumlah hutang yang kecil.

“Pada masa sama, ia tidak terlalu tinggi sehingga menyebabkan pemiutang kecil terbeban akibat tidak boleh mengambil tindakan penggulungan terhadap syarikat tersebut,” katanya.

Beliau berkata, SSM sebagai salah sebuah agensi di bawah KPDNHEP berharap pelaksanaan inisiatif itu dapat membantu menyokong sektor korporat dalam tempoh pemulihan ekonomi khususnya kepada syarikat yang terjejas semasa penularan wabak Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI