fbpx

Legasi, hadiah ulang tahun ke-25 Siti dalam industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK SERI SITI NURHALIZA

PETALING JAYA – Tanggal 1 April 2021 menjadi saksi genapnya 25 tahun hayat keberadaan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam industri hiburan Nusantara.

Memberi lebih nilai sentimental pada tarikh penuh bermakna dalam hidupnya, kendatipun sedang menghitung waktu untuk kelahiran anak keduanya, Siti sempat menghadiahkan sesuatu yang istimewa dengan melancarkan sebuah album lagu kanak-kanak yang berjudul Legasi.

Siti juga sempat menyiapkan dua buah video muzik sebelum berehat untuk persediaan melahirkan dan berpantang.

SITI menyifatkan penerbitan album kanak-kanak berjudul Legasi merupakan usaha bagi melestarikan lagu kanak-kanak klasik supaya terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang.

Video muzik lagu Medley Klasik Siti 1 akan dilancarkan pada jam 9 malam, menerusi saluran YouTube Siti Nurhaliza. Video muzik berkenaan mendapat kerjasama daripada syarikat Beausiti dan Wonderlab.

Sebuah lagi video muzik ialah menerusi lagu ciptaan Siti untuk anakanda yang bakal lahir yang diberi judul Anakanda. Video muzik untuk lagu berkenaan pula mendapat tajaan syarikat Cuckoo dan juga akan dilancarkan pada sekitar April.

Siti turut berpandangan penerbitan album kanak-kanak ini merupakan satu usaha bagi melestarikan lagu kanak-kanak klasik supaya terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang.

Selain itu, sebagai penyanyi yang telah bergelar ibu, Siti berpendapat lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran. Kanak-kanak dilihat lebih cepat dan peka mempelajari bahasa,kreativiti, motivasi dan tunjuk ajar.

“Apa yang penting adalah mesej yang kita sampaikan di dalam sesebuah lagu . Anak-anak ini akan cepat belajar dan memahami, justeru dalam lirik lagu kanak-kanak termasuk olahan lirik terbaharu, saya memberikan mesej yang baik serta berguna,’’ ujar penyanyi berusia 42 tahun ini.

SITI berharap, puteri sulungnya Aafiyah juga mengenal dan menikmati keindahan lagu-lagu klasik sebagaimana yang pernah mengisi zaman kanak-kanaknya satu waktu dahulu.

Single Medley Klasik Siti 1 merupakan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti bersama rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang. Nostalgia puluhan tahun lalu diabadikan dalam sebuah lagu dan berharap agar putri sulungnya, Siti Aafiyah juga mengenal lagu kanak-kanak zaman sebagai telah mengisi waktu kecil si ibu.

Pada masa sama, Siti berharap agar album Legasi tidak disamakan dengan album komersil yang lain. Penerbitan sebuah album komersil pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih santai dan tentunya berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan. Namun apabila mendengar album ini, Siti yakin usahanya tidak sia-sia kerana Legasi menampilkan keistimewaan tersendiri.

“Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu dan album Legasi mempunyai keseronokan yang tersendiri sewaktu di dalam studio. Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha yang dibuat oleh Pown Hasril selaku penerbit bersama pasukan kerjanya,’’ tambahnya.

Diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (SNP) (M) Sdn. Bhd, Legasi dizahirkan dalam bentuk digital dan fizikal.  Bermula 1 April, pencinta muzik dan peminat boleh mendapatkan album penuh Legasi menerusi seluruh platform digital. Kali ini, SNP turut memberikan kepercayaan kepada syarikat Universal Music Sdn. Bhd bertindak selaku pengedar. Album fizikal atau CD pula boleh dilanggan menerusi platform snp.onpay.my atau Affiliate SNP yang sah.

SITI kini sedang menghitung hari untuk melahirkan anak keduanya.

Untuk penerbitan kali ini, Siti menyerahkan kepercayaan kepada penerbit muda, Pown Hasril bagi memberikan sentuhan baharu dan segar untuk keseluruhan lagu yang ditampilkan.

Album Legasi mengandungi tujuh buah lagu dan mempunyai 10 buah trek termasuk interlude. Dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu khas didedikasikan buat anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul Anakanda. Sebuah lagi lagu ciptaan beliau sebelum ini iaitu Comel Pipi Merah turut dimuatkan di dalam album ini. Lain-lain lagu, termasuklah Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI