fbpx

Angkara bunuh anak tiri, bekas polis ke tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas koperal polis dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak tiri perempuannya enam tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Khairuanuar Baharuddin, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

“Selepas meneliti dan mengkaji keseluruhan keterangan dalam kes ini mahkamah mendapati bahawa pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

“Mahkamah mendapati kesemua keterangan mengikut keadaan dalam kes ini menjurus kepada kesimpulan tertuduh membunuh si mati. Oleh itu, mahkamah mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 302,” kata Hakim Collin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Hanis Amanda Mohd. Zafil, yang berusia dua tahun (ketika kejadian) di sebuah kondominium di Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara pukul 7 pagi hingga 7.30 malam pada 6 November 2015.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sejurus selepas tamat prosiding, tertuduh dilihat tenang namun dua ahli keluarga tertuduh yang hadir pada prosiding itu dilihat menangis.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria manakala peguam Fahri Azzat mewakili tertuduh.

Kes menyayat hati itu dilaporkan media pada November 2015 yang membawa kepada pembukaan akaun laman sosial Facebook atas nama “Keadilan Untuk Amanda”.

Kisah itu kembali tular dan mendapat perhatian netizen setelah satu status menuntut keadilan kanak-kanak itu dimuat naik di akaun tersebut.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, seramai 15 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI