fbpx
SELEPAS disahkan hamil atas hubungan yang terjalin bahana hidup bersekedudukan, Izati yang bimbang masa depan dirinya dan anak telah bertindak menggugurkan kandungannya di sebuah hospital swasta.–GAMBAR HIASAN

Tiada zuriat lepas gugurkan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH silam terus menghantui hidup Izati, 30, (bukan nama sebenar) sehingga dadanya terasa sesak dihimpit penyelasan tanpa noktah.

Izati dahulunya seorang gadis baik dan pemalu yang dibesarkan di kampung telah berubah sikap apabila dia mula bekerja di Kuala Lumpur.

Semuanya berubah apabila dia berkenalan dengan Iwan (bukan nama sebenar) yang juga merupakan rakan di tempat kerjanya.

Sikap budiman Iwan yang sering membantunya ketika dalam kesusahan telah membuka hati Izati untuk menerima lelaki itu sebagai kekasih.

Iwan juga menawarkan Izati untuk tinggal serumah dengannya apabila mengetahui wanita tersebut mempunyai masalah di rumah sewa.

“Awalnya saya menolak cadangan Iwan kerana merasakan tidak manis kami tinggal berdua di dalam satu rumah.

“Setelah dipujuk oleh Iwan dan atas alasan berkongsi sewa rumah bagi meringankan bebanan kewangan, maka akhirnya saya bersetuju,” katanya memulakan bicara.

Jelasnya, dia merasakan tidak mengapa untuk tinggal bersama Iwan di dalam satu rumah buat sementara waktu dan akan mencari kediaman lain apabila keadaan kewangan sudah stabil.

Benarlah kata orang, lelaki dan wanita tidak boleh tinggal berdua sehingga terjadilah perhubungan terlarang.

Akui Izati, dek kerana terlalu sayangkan Iwan dia merelakan perhubungan keji tersebut berterusan walaupun terbit rasa berdosa.

Segala kemanisan itu bertukar berita duka apabila Izati disahkan mengandung.

“Saya berasa takut dan risau memikirkan masa depan diri dan anak dalam kandungan.

“Saya terlalu bimbang Iwan akan meninggalkan kami apabila mengetahui hal ini,” cerita anak kedua daripada lima beradik itu.

Tanpa pengetahuan Iwan, Izati telah menggugurkan kandungan tersebut di sebuah klinik swasta secara haram kerana terlalu takut kehilangan lelaki yang sangat disayanginya itu.

Selepas itu, mereka berdua menjalani kehidupan seperti biasa dan suatu hari, Iwan menyuarakan hasrat untuk memperisterikan Izati.

 

IZATI berasa sayu setiap kali melihat suaminya bermain dengan anak-anak kecil kerana menyedari suaminya itu sangat inginkan cahaya mata seperti pasangan suami isteri yang lain.–GAMBAR HIASAN

 

“Itu merupakan detik yang saya nanti-nantikan, akhirnya kami berdua dapat hidup bersama sebagai suami dan isteri.

“Kehidupan kami berdua sangat bahagia tetapi yang kurang ialah cahaya mata,” tuturnya yang telah mendirikan rumah tangga hampir tujuh tahun.

Izati sedar mungkin itu adalah balasan daripada kesilapan silam tetapi mereka berdua tidak putus-putus berdoa dan bertaubat kepada Allah SWT.

Walaupun pahit untuk ditelan tetapi pasangan itu tetap berusaha untuk memiliki anak sendiri dan mencuba pelbagai cara termasuk rawatan moden mahupun tradisional.

“Hati saya menangis setiap kali melihat suami bermain dengan anak saudaranya dengan penuh kasih sayang dan perhatian.

“Saya tahu dia sangat inginkan anak tetapi kami masih belum dikurniakan rezeki walaupun sudah sekian lama menunggu,” ujar wanita berkulit putih mulus itu.

Tambah Izati, dia pernah menyuarakan hasrat untuk mengambil anak angkat tetapi suaminya berkeras mahukan anak daripada darah dagingnya sendiri.

Oleh itu, besar harapannya agar Allah memakbulkan doa mereka berdua untuk memiliki cahaya mata.

Dia juga sempat menitipkan pesanan kepada anak muda di luar sana agar menjaga batas pergaulan supaya tidak terlanjur ke lembah maksiat yang bahagianya cuma seketika tetapi penyesalannya sehingga hujung nyawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN