fbpx

Makmal heroin dalam rumah mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, Johor hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Sebuah makmal memproses dadah disyaki jenis heroin yang dipercayai dikendalikan dua pasangan suami isteri terbongkar selepas polis membuat serbuan di kawasan perumahan berpagar dan berpengawal di Iskandar Puteri, dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertama kira-kira 2 petang, polis telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang diupah bagi memproses dadah bersama sejumlah rampasan dadah bernilai RM1.09 juta.

Katanya, dengan penahanan lelaki tersebut, polis membuat serbuan susulan menangkap dua wanita tempatan berusia 34 dan 35 tahun di kawasan Temerloh, Pahang dan Batu Gajah, Perak pada Rabu lalu.

“Modus operandi kegiatan sindiket dadah ini adalah menyewa rumah jenis berpagar dan berpengawal untuk dijadikan makmal memproses dadah.

“Siasatan yang dijalankan mendapati sindiket pengedaran dadah itu telah beroperasi kira-kira setahun yang lalu.

“Dengan tertangkapnya sindiket pengedaran dadah ini, polis berjaya membuat rampasan dadah iaitu 57.83 kilogram (kg) heroin, 4.53kg heroin base dan 77.7kg kafein yang dianggarkan bernilai RM1.09 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Dalam serbuan itu , polis turut merampas barang memproses dadah antaranya ketuhar, kuali, besen, pewarna makanan dan senduk pelbagai jenis.

Polis turut menyita lima buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM16,430, pelbagai jenis barangan kemas, 25 jam tangan dan 15 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM1.1 juta.

Ayob Khan memberitahu, hasil saringan urin mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan dua suspek utama iaitu suami kepada dua wanita yang ditahan di Temerloh dan Batu Gajah sebelum ini.

“Dua suspek itu ialah P. Ram Kumar berusia 37 tahun yang beralamat terakhir di Taman Bestari di sini dan K. Suresh yang beralamat terakhir di Taman Perling.

“Suresh yang berusia 41 tahun itu adalah ahli kongsi gelap kumpulan 36 yang pernah dibebaskan sebelum ini.

“Sekarang ini sudah menjadi trend, kebanyakan gengster yang kita sudah tangkap bawah jenayah terancang dulu tetapi dibebaskan selepas dipinda pertuduhan atas Akta Pertubuhan. Inilah mereka aktif semula dengan dadah kumpulan 36,” katanya.

Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI