fbpx

Polis buru suspek raba wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang penunggang motosikal mencabul seorang wanita di Lorong Limau Manis, Jalan Hamzah, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mencabul seorang wanita dalam kejadian di Lorong Limau Manis, Jalan Hamzah di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 pagi ketika mangsa sedang berjalan seorang diri di lorong berkenaan untuk ke tempat kerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, mangsa yang berusia 18 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu di sini kira-kira pukul 11 malam pada hari yang sama.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, kejadian berlaku ketika wanita itu sedang berjalan bersendirian sebelum dihampiri oleh sebuah motosikal jenis Honda C90 yang ditunggang oleh seorang lelaki dari arah belakang.

“Lelaki terbabit kemudian bertindak meraba bahagian punggung mangsa sebelum memecut motosikal yang ditunggangnya.

“Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu telah membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu pada hari yang sama berhubung kejadian itu, ” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Wan Khairuddin berkata, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), polis mendapati suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 40 hingga 50-an yang menunggang motosikal jenis Honda C90 berwarna coklat.

Katanya, berdasarkan semakan nombor siri pendaftaran, polis telah mengenal pasti pemilik motosikal itu yang berasal dari Kuala Lumpur.

“Motosikal itu berkemungkinan sudah dijual, namun nama pemilik masih belum ditukar. Sehubungan dengan itu, polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui dan mengenali suspek supaya segera menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurut Wan Khairuddin, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI