fbpx

Syarikat produksi rosakkan fosil Gua Matsoorat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesan contengan pada dinding dalam Gua Matsoorat telah merosakkan lukisan prasejarah berusia lebih 5,000 tahun yang dipercayai lukisan manusia Zaman Neolitik.

IPOH – Sebuah syarikat produksi drama mengaku bertanggungjawab merosakkan fosil berusia jutaan tahun di Gua Matsoorat berhampiran Gunung Lang dekat sini termasuk bahagian dinding gua semasa menjalankan penggambaran di kawasan tersebut baru-baru ini.

Malah, wakil syarikat dari Kuala Lumpur itu juga telah berjumpa dengan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berhubung perkara tersebut dan bersedia menanggung kos untuk membaiki kerosakan yang telah dilakukan.

Pengarah Eksekutif Rymba Management & Leisure Sdn. Bhd. (Rymba Management), Megat Mohd. Shahrin Mohd. Hamdan berkata, bagaimana pun perkara yang telah berlaku itu amat dikesali kerana ia tidak sepatutnya terjadi sekiranya kru produksi tersebut masuk ke kawasan gua bersejarah itu bersama jurupandu berpengalaman.

Katanya, syarikat produksi itu juga telah melakukan kesalahan kerana melakukan penggambaran di kawasan gua berkenaan tanpa kebenaran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selaku pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap gua itu.

“Kru produksi ini telah menceroboh masuk ke Gua Matsoorat tanpa pengetahuan MBI dan hasil pemeriksaan kemudian mendapati berlaku kerosakan pada fosil dan dinding gua.

“Sebenarnya kawasan ini tidak boleh dimasuk sesuka hati berikutan usaha untuk menjadikan Gua Matsoorat sebagai geotapak ke-19 dalam Geopark Lembah Kinta,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini.

Rymba Management yang berpengalaman dalam menjalankan pelbagai aktiviti lasak telah dilantik oleh MBI selaku pihak bertanggungjawab bagi menganjur, menawar dan mempromosikan Gua Matsoorat sebagai lokasi ekopelancongan.

Pelantikan tersebut adalah sebahagian daripada usaha MBI bersama agensi berkaitan bagi menjadikan Gua Matsoorat sebagai kawasan pelancongan terkawal.

Kerajaan negeri Perak sebelum ini telah memberi jaminan untuk meningkatkan kawalan di Gua Matsoorat bagi mengelakkan ia dicerobohi pihak luar bagi memastikan khazanah di tapak bersejarah yang berusia jutaan tahun itu terpelihara.

Ia susulan kerosakan pada gigi fosil mamalia herbivor yang dipercayai berlaku pada 18 Mac lalu dengan kesan seperti diusik oleh pihak yang tidak diketahui. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI