fbpx

29 Jun pendengaran lucut hak aset keluarga Abdul Azeez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 29 Jun ini bagi pendengaran  berhubung permohonan kerajaan melucut hak hampir RM16 juta termasuk satu lot kedai daripada keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim..

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas kesemua pihak iaitu pemohon, responden dan penuntut bersetuju dengan tarikh pendengaran tersebut selain semua pihak perlu memfailkan hujahan bertulis masing-masing seminggu sebelum pendengaran kes.

Pemohon adalah kerajaan, responden merupakan isteri Abdul Azeez iaitu Datin Seri Khadijah Mohd.Noor serta empat anak mereka termasuk Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd sementara penuntut adalah Maybank Islamic Berhad.

Dalam prosiding hari ini pemohon diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, kesemua responden diwakili peguam Datin Marina Mohamed manakala penuntut diwakili peguam Poh Choo Hoe.

Ketika prosiding Nik Haslinie memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat pihak ketiga yang merupakan penuntut iaitu Maybank Islamic Berhad hadir ke mahkamah.

“Mohon mahkamah merekodkan bahawa terdapat penuntut hadir dalam permohonan ini. Boleh disahkan penuntut hari ini adalah menuntut bagi harta di item ke-6 pada senarai warta kerajaan,” katanya pada prosiding pewartaan pihak ketiga yang dijadualkan hari ini.

Sementara itu sejurus selepas prosiding kes Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad ketika ditemui pemberita memaklumkan item ke-6 yang dituntut oleh penuntut itu adalah sebuah lot kedai yang terletak di Bandar Sunway.

Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.

Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September dua tahun lalu manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan pada Januari tahun ini.  K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI