fbpx

Lupa punca anak mati dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

MINGGU lalu negara dikejutkan dengan kejadian malang me­nimpa nasib seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang me­ninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta selama lebih empat jam.

Tidak boleh dinafikan kejadian ini tidak asing lagi di negara ini, malah boleh dikatakan hampir setiap tahun pasti akan terjadi.

Ia juga bukan satu kejadian yang berlaku di negara ini sahaja, malah hampir seluruh dunia mempunyai rekod mengenai kematian kanak-kanak yang ter­tinggal di dalam kenderaan.

Menurut kajian yang dibuat oleh noheatstroke.org, di Amerika Syarikat, kira-kira 882 kanak-kanak meninggal dunia akibat daripada strok haba sejak tahun 1998 kerana tertinggal di dalam kereta.

Berdasarkan kajian itu, sehingga tahun 2020, sebanyak 52.9 peratus kanak-kanak tertinggal di dalam kereta kerana ibu bapa terlupa, 25.6 peratus pula mema­suki sendiri kenderaan yang tidak berkunci, 19.7 peratus se­ngaja di­tinggalkan dan 1.7 peratus tidak diketahui puncanya.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Kulanthayan KC Mani berkata, kebiasaannya terdapat dua punca yang menyebabkan kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan.

Pertama sekali, kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta buat seketika dan pemandu berasakan tindakan itu tidak ber­bahaya.

“Ini sering berlaku ketika pemandu mahu singgah ke kedai, misalnya. Kita fikir boleh tinggalkan anak bersendirian kerana kita akan kembali ke kereta de­ngan kadar segera. Tetapi, tindakan itu salah kerana kita tidak boleh menjangka sekiranya timbul sesuatu perkara yang menyebabkan kita terlewat.

“Oleh itu, seboleh-bolehnya jangan tinggalkan anak bersendirian di dalam kereta walaupun sekejap,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo! baru-baru ini.

Kulanthayan berkata, suhu badan kanak-kanak boleh me­ningkat tiga hingga empat kali lebih cepat berbanding orang ­dewasa.

Malah, suhu di dalam kende­raan juga tidak memerlukan masa yang lama untuk naik, dalam tempoh 20 minit sahaja suhu dalam kenderaan boleh berubah.

Punca kedua pula ialah ter­tinggal tanpa niat iaitu apabila penjaga terlupa ada kanak-kanak yang duduk di belakang.

“Sudah pasti ada yang mencadangkan, letak anak di hadapan supaya mudah kita ingat. Tetapi, anak-anak tidak boleh letak di depan kerana cukup bahaya untuk perjalanan di dalam kereta.

“Kanak-kanak mesti duduk di belakang, kerana di tempat duduk hadapan ada beg udara, dan bahaya untuk kanak-kanak,” jelasnya.

Katanya, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi memastikan pemandu ­ingat bahawa ada kanak-kanak di dalam kenderaan tersebut.

“Antaranya, letakkan barang penting yang kita akan bawa selepas keluar dari kenderaan nanti.

“Sebagai contoh untuk wani­ta, letak beg tangan di tempat duduk belakang. Orang awam juga bila melalui kawasan letak kereta, kena jenguk-jenguk juga dalam kereta itu, mana tahu ada kanak-kanak tertinggal,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI