fbpx
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain (dua dari kiri) dan Ayob (kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru pada 12 Januari lalu.

Inspektor jual dadah rampasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor tergamak menjual semula dadah yang dirampas pasukan itu kepada sindiket sebelum bahan terlarang berkenaan dipasarkan ke negara jiran.

Kegiatan pegawai berusia 31 tahun itu dipercayai dilakukan sejak tiga tahun lalu dan mampu meraih keuntungan mencecah puluhan ribu ringgit.

Difahamkan, dadah yang dijual semula oleh suspek dari bahagian narkotik itu adalah dari jenis syabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pegawai berkenaan ditahan pada 16 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ­Johor.

Katanya, pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai bersubahat dengan sindiket dadah.

“Tangkapan ke atas suspek dibuat selepas siasatan ke atas sebuah sindiket dadah terbesar di negeri ini.

“Siasatan awal mendapati pegawai yang ditahan itu menjual dadah yang dirampas oleh polis bagi tujuan peribadi.

“Dadah yang dijual itu adalah untuk dipasarkan ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor di sini semalam.

DI IPK Johor inilah seorang Inspektor ditahan pada 16 Mac lalu bagi membantu siasatan berhubung kes menjual dadah yang dirampas oleh polis kepada sindiket.

Ayob Khan berkata, selain tangkapan, polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan wang tunai RM1,200.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Dalam tangkapan berasi­ngan, Ayob Khan memberitahu, pihaknya turut menahan dua anggota berpangkat Sub Inspektor dan Koperal masing-masing berusia 35 dan 59 tahun pada 18 Mac lalu kerana terlibat dalam kegiatan pemerasan.

Dua anggota yang bertugas di IPD Muar itu dipercayai melakukan pemerasan ke atas individu yang ditahan kerana memiliki ­syabu di kawasan Parit Jawa, Muar dekat sini.

“Bagi melindungi kegiatan itu, dua anggota tersebut meminta wang perlindungan sebanyak RM3,000.

“Bagaimanapun suspek ­ha­nya menerima wang RM2,800 daripada individu berkenaan,” katanya.

Kedua-dua suspek direman selama dua hari pada Jumaat lalu dan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE