KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul dan mengaibkan kehormatan anak gadisnya pada Julai tahun lalu dan Januari tahun ini.
Tertuduh yang berusia 49 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap anak kandung perempuanya yang berusia 21 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di sebuah rumah di Taman Kosmo Jaya Off Jalan Sentul sini antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada 16 Julai 2020.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama pada tempat sama pukul 12.45 tengah malam yang mana kesalahan itu dilakukan pada 9 Januari lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksium 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan mangsa sama di dalam kereta jenis Mercedes-Benz antara pukul 12.45 tengah malam hingga 1 pagi pada 17 Julai tahun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Josiendra Abu Senin menawarkan jaminan RM100,000 atas ketiga-tiga pertuduhan terhadap tertuduh.
Menurut Mohd. Josindra jumlah ikat jamin yang tinggi itu adalah berpatutan berdasarkan status tertuduh yang merupakan ahli perniagaan dan mempunyai beberapa kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang.
Bagaimanapun peguam M.Puravelan memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan anak guamnya sebelum ini dalam jaminan selain memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Chai Sia membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tarikh 27 April ini ditetapkan sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan suspek ditahan di rumahnya di Taman Kosmo Jaya di sini pada pertengahan Januari lalu selepas mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.














