fbpx

Identiti solo Rosé dalam On The Ground

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINGLE solo Rosé berjudul On The Ground kini menduduki tangga teratas trending dalam YouTube.

PENYANYI Rosé mengikut jejak langkah Jennie apabila menjadi ahli Blackpink kedua yang meluncurkan projek solo dengan meluncurkan single On The Ground yang dipetik daripada album solo debutnya, R.

On The Ground merupakan karya yang langsung tidak dibayangi lagu-lagu Blackpink. Secara tulennya, bunyi lagu tersebut cukup menonjolkan siapa diri Rosé.

Lagu tersebut menceritakan perjalanan kerjayanya yang bermula dengan nyanyian dan bermain piano sedari zaman kanak-kanak di Australia sebelum kemudian terbang ke Korea Selatan dan menubuhkan sebuah kumpulan wanita K-pop paling hebat pada masa kini.

LAGU On The Ground merampas kedudukan karya penyanyi Psy berjudul Gentleman selaku karya artis solo K-pop paling banyak ditonton dalam YouTube untuk tempoh 24 jam.

Dilahirkan di New Zealand, Rosé melakukan pilihan tepat apabila merakamkan trek solonya dalam bahasa Inggeris. Bahasa yang dia selesa berkomunikasi walaupun melancarkan karier di Korea Selatan.

EDM

Berbalik tentang kualiti debut solo Rosé, lagu tersebut merupakan karya yang menonjolkan vokal penyanyi wanita itu dan diperkuatkan dengan elemen electronic dance music (EDM).

Barangkali bersama Blackpink, penonjolan vokalnya sedikit terhad, namun dengan kemunculan single solo, pendengar berpeluang untuk lebih mengerti tentang vokal dan jenis muzik dibawakan penyanyi jelita bernama Rosé.

Menyentuh soal sama ada On The Ground mesra pendengar atau tidak, secara peribadi, karya berkenaan diklasifikasikan sebagai sebuah lagu yang mengambil sedikit masa untuk lazim atau mesra di halwa telinga pendengar.

ALBUM perdana Rosé berjudul R setakat ini hanya mendedahkan dua judul lagu iaitu On The Ground dan Gone.

Selepas mendengar lebih tiga kali, barulah ‘kesedapan’ lagu tersebut muncul sekali gus melekat di telinga. Bagaimanapun, perkara berkenaan tidak mengurangkan ‘markah’ lagunya kerana memang ada sesetengah karya yang memerlukan sedikit masa untuk bercantum dengan keserasian pendengar.

Sopan

Dari segi nukilan lirik pula, Rosé memilih jalan selamat dan tidak terikut-ikut budaya Barat yang gemar menyuntik perkataan yang tidak senonoh. Orang Asia memang tinggi dengan kesopanan bahasa bahkan melalui muzik.

Paling manis, fenomena yang dicetuskan melalui video muzik rasmi lagu tersebut mencatat lebih 90 juta dalam tempoh enam hari dalam YouTube. Rosé kini memegang rekod sebagai artis solo K-pop yang memiliki tontonan paling banyak iaitu 41.6 juta dalam tempoh 24 jam. Tahniah Rosé!

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI