fbpx

‘Duduk dahulu, selesaikan pinjaman kemudian’ – Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida meninjau keadaan PPR Sungai Melana Fasa II yang sudah siap pembinaannya di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberi kelonggaran kepada individu yang layak menduduki di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) unit tinggal di unit-unit tersebut sementara menunggu permohonan pinjaman bank diluluskan.

Menteri KPKT, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, dengan cara itu, penempatan di setiap PPR dapat diisi dalam kadar segera daripada terbiar serta mengalami kerosakan akibat kegiatan vandalisme.

Katanya, syarat permohonan sebelum ini mewajibkan pemohon untuk membuat pinjaman bank sebelum permohonan diterima.

“Antara punca kekosongan PPR dalam tempoh yang lama adalah menunggu kelulusan pinjaman yang dibuat dengan Institusi perbankan. Bila ramai tidak layak (pinjaman bank), unit-unit PPR sudah siap dibina akan terbiar kosong.

“Oleh itu, kementerian mahu individu yang layak atau sudah dikenal pasti tinggal dahulu di unit PPR yang sudah siap. Dalam tempoh dua tahun itu, mereka perlu menyelesaikan isu kewangan dan usahakan pinjaman bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau PPR Sungai Melana Fasa II yang sudah siap dibina di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, KPKT juga akan memberikan lanjutan tempoh tambahan selama setahun bagi keluarga yang benar-benar dibelenggu masalah kewangan selepas diberi kebenaran menduduki PPR dalam tempoh dua tahun itu.

“Kita tahu kebanyakan keluarga tidak mengalami masalah membayar sewa bulanan. Yang menjadi masalahnya ialah untuk mendapatkan pinjaman bank bagi tujuan sewa beli PPR yang ditawarkan.

“Sekiranya dalam tempoh tambahan setahun itu juga mereka masih tidak berjaya, maka mereka perlu memberi laluan kepada pemohon lain menduduki unit PPR berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Zuraida diiringi Steven dan Mazlan mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Sinaran Kempas, di sini, bagi menyelesaikan masalah setinggan di situ yang berlarutan lebih 20 tahun.

Hasil perjumpaan itu, pihaknya bersetuju untuk menempatkan 500 penduduk setinggan di Kampung Sinaran Kempas yang tinggal di sepanjang rel keretapi dipindahkan ke PPR Sungai Melana Fasa II yang mempunyai 1,450 unit.

“Kerajaan Johor akan mengadakan perbincangan lanjut dengan penduduk setinggan Kampung Sinaran Kempas dalam masa terdekat dan KPKT meminta penduduk berkenaan diberikan keutamaan menduduki PPR Sungai Melana Fasa II,” ujarnya.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI