fbpx

JDT tidak rela dikejutkan UiTM FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MORA akan mengekalkan hampir keseluruhan kesebelasan terbaik menjelang aksi menentang UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam malam ini. – JOHOR SOUTHERN TIGERS

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan memandang mudah pertemuan menentang UiTM FC sebaliknya mahu mengekalkan momentum kemenangan ketika berkunjung ke Shah Alam bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) di Stadium UiTM malam ini.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, biarpun kelab tersebut belum mengutip sebarang mata musim ini setelah tewas dua perlawanan terdahulu, itu tidak bermakna mereka tidak berkemampuan mencipta kejutan ke atas Harimau Selatan.

Menjelang pertemuan itu, Mora turut memberi bayangan akan mengekalkan hampir keseluruhan pemain yang diturunkan dalam dua perlawanan terdahulu yang berakhir dengan kemenangan 2-0 ketika bermain di laman sendiri.

“Rekod pertemuan menentang UiTM sebelum ini hanya sejarah semata-mata, ia tidak akan memberi impak kepada pertemuan esok. Ini kerana, skuad Harimau Selatan pada musim ini sudah berwajah baharu yang diperkuatkan dengan pemain baharu.

“UiTM juga dibarisi pemain baharu dan dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman. Saya pun tidak tahu apa persiapan dia (Frank Bernhardt) dan pastinya kami akan berwaspada untuk tidak terperangkap dengan muslihatnya,” katanya kepada pemberita semalam.

Biarpun menang dua perlawanan berturut-turut dan tidak dibolosi, Mora melihat masih terdapat ruang yang boleh ditambah baik terutamanya ketajaman penyudah jentera serangannya.

“Jika kita lihat dalam dua perlawanan terdahulu, kami mendominasi penguasaan bola, menjadi pasukan lebih cemerlang di atas padang, banyak mencipta peluang gol tetapi sentuhan penyudah masih belum cukup tajam dan kemas. Inilah yang perlu kami perbaiki pada perlawanan akan datang.

“Pemain perlu bijak mencari jalan merobek kubu lawan dan memanfaatkan peluang sebaik­nya. Ia bukanlah semudah kata lebih-lebih lagi berdepan dengan pasukan yang ‘berkampung’ di kawasan sendiri dan hanya menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas, ini adalah dilema bagi mana-mana pasukan hebat pada mana-mana liga,” katanya.

Ditanya mengenai pemain import baharu, Bergson da Silva, Mora Masih belum dapat memutuskan sama ada pemain kelahiran Brazil itu dapat diturunkan memandangkan dia baru sahaja menjalani latihan selepas menamatkan tempoh kuarantin, Rabu lalu.

“Kita akan tengok keadaan serta tahap kecergasannya terlebih dahulu. Jika dia sudah bersedia, tiada halangan untuk diturunkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI