fbpx

Manusia tanpa ilmu ibarat ‘tin kosong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ZUBAIDAH IBRAHIM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK akhir-akhir ini, seakan menjadi trend apabila ada segelintir influencer atau selebriti media sosial membuat pengakuan bahawa mereka tidak menamatkan persekolahan tetapi berjaya meraih pendapatan lumayan pada usia muda.

Influencer kebiasaanya memperoleh pendapatan menerusi saluran YouTube mereka, membuat ulasan produk di media sosial, menjadi model sambilan dan tidak kurang juga mengusahakan perniagaan.

Tidak salah untuk mencari pendapatan sampingan ketika bergelar pelajar kerana ia memberi pengalaman yang sangat berharga dan dapat membantu keluarga.

Namun, ia haruslah bergerak seiring dengan pendidikan kerana manusia tanpa ilmu ibarat ‘tin kosong’ yang tiada isi.

Rata-rata pengikut mereka adalah anak muda dan dikhua­tiri trend tersebut memberi pe­ngaruh buruk sehingga ada yang sanggup mengetepikan kepen­tingan pendidikan.

Harus diingat, menuntut ilmu bukan semata-mata untuk menjadikan kita kaya atau memegang jawatan besar.

Sebaliknya, menuntut ilmu adalah tanggungjawab dan amanah serta dapat membentuk kita menjadi manusia hebat.

Apa akan terjadi kepada negara sekiranya golongan muda yang merupakan generasi pelapis mempunyai pemikiran sebegitu?

Kebimbangan tersebut turut disuarakan oleh seorang ibu, Fiza Karim, 32, yang mengatakan pemikiran tersebut harus segera dikikis dari minda anak-anak.

“Sebagai ibu bapa sudah tentu kita mahu melihat anak-anak berjaya di dunia dan akhirat, maka menuntut ilmu merupakan aspek sangat penting serta diberi penekanan.

“Justeru, perkara ini perlu dibendung dengan segera supaya tidak merebak dan meracuni fikiran anak muda,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Tambah anak kelahiran Pahang itu, generasi muda pada masa kini berdepan pelbagai cabaran dan perkara tersebut adalah salah satu daripadanya.

Sementara itu, Pakar Sosial, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, menuntut ilmu bukanlah pelaburan yang sia-sia kerana ia akan menjadikan seseorang insan itu lebih cemerlang dan berjaya.

“Tidak akan rugi mereka yang menuntut ilmu kerana tanpa sedar ia akan memberi nilai tambah kepada individu tersebut.

“Apatah lagi dalam menjalankan perniagaan memerlukan mereka berilmu kerana dari situ akan membentuk pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif,” katanya.

Ulasnya lagi, ilmu tersebut yang diadunkan dengan senario semasa akan melahirkan usahawan dengan idea-idea unik lantas membawa perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Mohammad Shatar turut berpesan kepada anak muda agar tidak meletakkan pelajaran itu bagi tujuan mendapatkan pekerjaan tertentu, sebaliknya perlu sedar bahawa ilmu akan menjadikan kita lebih kompeten dalam memikul tugasan.

“Tuntutlah ilmu secara formal atau tidak formal sebanyak mungkin kerana orang yang berilmu ini nilainya tidak akan menyusut sehingga akhir hayat.

“Harus diingat, jangan jadikan populariti dan kecantikan sebagai modal untuk berjaya kerana semua itu tidak kekal lama,” tuturnya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kela­yakan Malaysia (MQA).

Beliau berkata, dikurniakan rupa paras yang cantik dan popular adalah bonus tetapi pendidikan tetap menjadi asas paling penting untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI