fbpx

Ejen permit warga India pula direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ejen permit warga India yang direman enam hari bermula hari ini.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapat perintah reman enam hari bermula hari ini terhadap seorang ejen permit dalam membantu siasatan rasuah melepaskan 22 warga China daripada tahanan Imigresen, tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ellyna Othman terhadap suspek lelaki berusia 51 tahun yang merupakan warganegara India yang diwakili Peguam S. Narasimhan.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap SPRM hadir pukul 10.30 pagi di kompleks Mahkamah Shah Alam dengan bergari dan dikawal pegawai penguat kuasa itu.

Menurut sumber, suspek yang telah bekerja sebagai ejen permit warga asing lebih 10 tahun itu ditangkap pukul 4 petang di Pejabat SPRM Selangor.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lelaki ini merupakan ‘runner’ kepada seorang wanita yang merupakan ejen pekerja warga asing.

“Dia dikatakan menguruskan dokumen memo periksa keluar kepada kesemua warga China.

“Selain itu, suspek ini juga disyaki mendapat sebahagian upah daripada bayaran diperolehi oleh ejen wanita pekerja asing lebih RM90,000 yang diterima daripada ahli perniagaan bergelar Datuk Seri,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Kosmo! semalam melaporkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan menerima rasuah RM300,000 bagi membantu melepaskan 22 warga China di depoh Imigresen, tahun lalu.

Turut direman dalam jumlah hari sama adalah seorang wanita yang bertugas sebagai ‘runner’ kepada Datuk Seri tersebut. Kedua-dua mereka berusia 41 dan 44 tahun. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI