KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan rasuah meminta RM1 juta dan menerima RM450,000 berhubung tender menaik taraf Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun tertuduh Iliyas Jamil, 42, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham..tidak bersalah (tidak mengaku salah),” kata tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta rasuah bagi dirinya wang berjumlah RM1 juta daripada seorang lelaki berusia 60 tahun.
Wang itu sebagai upah bagi tertuduh bersetuju untuk memilih Syarikat Aerolux Power Constructions Sdn. Bhd. memenangi tender Projek Menaik taraf Gelanggang & Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil, Kuala Lumpur bernilai RM8,733,197.00.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perbadanan Stadium Malaysia, Aras 2, Stadium Nasional Kuala Lumpur Sports Center (KLSC), Sri Petaling di sini pada 24 Februari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya PencegahanRasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh di hukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh tertuduh didakwa menerima rasuah RM450,000 bagi dorongan sama iaitu bersetuju untuk memilih Syarikat Aerolux Power Constructions Sdn. Bhd. memenangi tender Projek Menaiktaraf Gelanggang & Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil, Kuala Lumpur bernilai RM8,733,197.00.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bagi enam pertuduhan itu di pejabat sama dan restoran sebuah pusat beli – belah di Sri Petaling di sini masing-masing pada 25 Februari, 26 Februari, 17 Mac, 24 Mac, 3 April dan 13 April 2026 mengikut Seksyen 16(a)(B) akta SPRM 2009 yang boleh di hukum dibawah seksyen 24(1) yang memperuntukkan hukuman sama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM dan tidak menganggu saksi-saksi.
Tarikh 27 Julai ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














