fbpx

Liga Premier : Kuching City gagal jinak TFC II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain sayap TFC II, Mohd. Ridzuan Razali (kiri) cuba melepasi kawalan pertahanan Kuching City, Rames Lai Ban Huat pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.

KUALA TERENGGANU – Kepulangan semula bekas pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini gagal menjelmakan kemenangan sulung buat kelab baharunya, Kuching City FC.

Kelab yang berpengkalan di bumi Kenyalang berkenaan sekadar mampu berkongsi mata 1-1 dengan TFC II yang merupakan skuad pelapis Terengganu.

Awal permainan memihak kepada anak-anak buah Irfan Bakti yang lebih mendominasi bahagian tengah namun kelab The Cats dikejutkan gol pembukaan TFC II pada minit ke-19.

Berpunca sepakan percuma di sebelah kanan, pemain sayap, Amirul Syazwan Nor Azmi bijak melencongkan bola menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Iqbal Suhimi.

Ketinggalan satu gol, Kuching City menggandakan serangan namun percubaan Joseph Kallang Tie berjaya dihalang pertahanan TFC II untuk sepakan sudut.

Hasilnya sepakan diambil Kallang Tie itu berjaya menemui pemain pertahanan, Mohd. Hairul Mokhtar yang menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-30.

Lima layangan kad kuning dikeluarkan pengadil termasuk kepada pemain TFC II, Masaki Watanabe yang mencetuskan situasi tegang sewaktu tiga minit menuju wisel separuh masa pertama.

Babak kedua disambung dengan kedua-dua pasukan memulakan serangan menerusi Kallang Tie (m-50) dan sepakan Amirul Syazwan yang ditepis Mohd. Iqbal lima minit selepas itu.

Begitupun, aksi selepas itu agak hambar dengan TFC II dilihat merasai ketiadaan tonggak, Jordan Mintah dan Marcel N’Guessan.

Kemasukan penyerang gantian, Wan Mohd. Fazli Wan Ghazali turut gagal mengubah jaringan dan kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI