fbpx

Banyak barangan jatuh dari treler di lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang pemandu treler yang disaman JPJ Selangor kerana meletakkan kayu penyendal di bahagian casis yang boleh menyebabkanya terjatuh di lebuh raya. - Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Sikap sambil lewa pemandu kenderaan perdagangan terutama treler dan lori menggunakan tayar celup yang telah botak, meletakkan kayu dan besi di bahagian casis sehingga jatuh di lebuh raya menjadi antara penyumbang utama kemalangan jalan raya di negeri ini.

Ini terbukti hasil statistik Polis Kontinjen Selangor menunjukkan sebanyak 18,850 kemalangan di lebuh raya dilaporkan dengan melibatkan 199 kes kemalangan maut manakala kematian sebanyak 211 sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md. Taib berkata, berdasarkan maklumat PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mendapati sebanyak 19,218 bahan telah dikutip sepanjang lebuh raya di bawah kendalian pihak tersebut dengan 8,149 daripadanya direkodkan di Zon Tengah.

Katanya, daripada jumlah tersebut merekodkan 46.1 peratus adalah serpihan tayar iaitu yang pecah, besi (18.4 peratus), kayu (11.9 peratus) dan selebihnya lain-lain objek seperti komponen kenderaan, plastik dan lain-lain.

Selain itu, hasil daripada bahan-bahan yang terjatuh di lebuh raya itu mengakibatkan sebanyak 776 kemalangan direkodkan PLUS untuk tahun lalu sahaja.

“Ini statistik yang membimbangkan kita sebab ramai pemandu treler dan lori mengambil mudah dengan meletakkan kayu dan besi di bahagian tidak sepatutnya walaupun memberikan alasan telah mengikatnya dengan kemas dan digunakan bagi menyendal barangan dibawa mereka.

“Sepatutnya mereka meletakkan di atas kompartmen lori atau lori. Sekiranya bahan-bahan itu terjatuh akan memberikan bahaya paling tinggi kepada penunggang motosikal,” katanya pada sidang akhbar Ops Halangan di Plaza Tol Bukit Raja di sini hari ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh Januari hingga semalam menunjukkan pihaknya telah mengeluarkan saman sebanyak 14,142 dengan kesalahan termasuk melebihi muatan bahaya 127 kes, tayar celup atau botak (475), kayu penyendal (88) dan kesalahan teknikal (2,732).

Tambah Nazli, dalam operasi lebih tiga jam bermula pukul 8 pagi hari ini sahaja sebanyak 196 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi 112 kenderaan dalam operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS.

“Kebanyakannya adalah kayu penyendal dengan 46 kes, kesalahan teknikal (21), tayar celup (11), lebih muatan dan tiada lesen memandu dengan empat kes selain kesalahan telah tamat tempoh bagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer atau Puspakom dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan dua kes serta lain-lain kesalahan.

“Kita turut menyita sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 50an yang telah diubahsuai kerangka badannya dengan melakukan pateri untuk menambah kontena barangan elektrik yang dibawanya, ” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI